KWAP labur RM500 juta dalam dana perintis

Bernama
September 21, 2023 21:33 MYT
Dana tersebut merangkumi dua teras strategik pelaburan bagi dana modal teroka (VC) terpilih Malaysia serta pelaburan langsung bagi syarikat di peringkat awal. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) akan melabur sehingga RM500 juta bagi tempoh 18-24 bulan akan datang untuk Dana Perintis yang baharu dilancarkan dalam usaha melonjakkan ekosistem usaha niaga dan permulaan di Malaysia.
Ketua Pegawai Pelaburannya Hazman Hilmi Sallahuddin berkata dana tersebut merangkumi dua teras strategik pelaburan bagi dana modal teroka (VC) terpilih Malaysia serta pelaburan langsung bagi syarikat di peringkat awal.
"Menerusi peruntukan sebanyak RM250 juta bagi setiap teras, inisiatif KWAP adalah bagi mempercepat pertumbuhan landskap keusahawanan Malaysia yang sejajar dengan komitmen kelestarian KWAP sebagai penandatangan Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab PBB (PRI)," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran dana itu di sini, hari ini.
Hazman juga menyifatkan Dana Perintis sebagai satu inisiatif serta bukti komitmen KWAP dalam meningkatkan lagi pertumbuhan industri syarikat pemula niaga di negara ini.
"Dana Perintis ini tidak hanya menyaksikan kita membuat pelaburan modal kewangan, tetapi turut membabitkan kepakaran, sumber dan komitmen untuk melihat syarikat pemula niaga Malaysia ini meraih kejayaan di peringkat global, terutama yang melibatkan KWAP secara langsung," katanya.
Sementara itu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata pelancaran Dana Perintis oleh KWAP juga seiring dengan agenda negara untuk menyuntik nafas baharu ke dalam ekosistem syarikat pemula niaga.
"Peruntukan besar RM500 juta itu juga membuktikan bahawa idea yang baik ini perlu disokong. Malah, lebih banyak idea baik juga perlu diberi peluang untuk dimajukan.
"Menerusi usaha menyalurkan sejumlah besar wang dalam peringkat awal dan inkubator, kita juga perlu menerima hakikat bahawa ASEAN adalah masa depan dan Malaysia merupakan lokasi terbaik untuk blok ekonomi terbesar di Asia.
"Dana Perintis ini akan menarik kehadiran pelabur antarabangsa dan VC untuk membuka pejabat di Kuala Lumpur dan meneroka rantau ini, membawa pengasas serta rangkaian penaja berpengalaman yang akan mewujudkan reaksi dari segi rantaian usaha niaga yang inovatif," katanya.
Sementara itu, mengulas selanjutnya, Hazman berkata sebagai pelabur terkemuka Malaysia, KWAP berusaha untuk berperanan penting dalam memacu negara ke arah ekosistem peringkat awal yang pesat.
Malah, dengan melabur secara strategik dan menangani jurang kritikal, KWAP juga berharap untuk memacu trajektori pertumbuhan landskap permulaan dan meraih pulangan laras risiko yang menarik bagi pihak berkepentingannya.
"Sejumlah besar sehingga RM250 juta akan disalurkan untuk pelaburan dalam dana VC dengan pendedahan yang menumpukan Malaysia. Ini sejajar dengan usaha KWAP untuk menyokong pembangunan ekosistem usaha niaga yang mampan.
"Dana VC ini berperanan sebagai pemangkin dinamik, memupuk pemula niaga inovatif dengan menyediakan modal serta bimbingan penting. Pelaburan strategik KWAP akan merangkumi spektrum perjalanan permulaan kepada pengurus pertumbuhan yang menyumbang kepada kematangan keseluruhan ruang usaha niaga Malaysia," katanya.
Hazman berkata, sejajar dengan pelaburan dana itu, sejumlah RM250 juta lagi disasarkan kepada pelaburan langsung dalam syarikat-syarikat pemula niaga yang berpotensi, sekali gus memaparkan hasrat KWAP untuk memupuk syarikat terbabit mengharungi peringkat pertumbuhan dan pengembangan.
"Kita komited untuk memperkasa syarikat permulaan dan perusahaan kecil dan sederhana, menyokong aspek pekerjaan dan memupuk inovasi. Bagi menjayakan visi ini, KWAP telah mengenal pasti beberapa syarikat pemula niaga yang berpotensi untuk melabur dan kini menggaji lebih 1,000 rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang," katanya.
-- BERNAMA
#KWAP #pelaburan strategik #syarikat pemula niaga #dana modal teroka
;