KWAP catat pendapatan bersih tertinggi sebanyak RM12.9 bln pada 2024

Bernama
Februari 13, 2025 20:30 MYT
Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) merekodkan pendapatan bersih tertinggi, mencecah rekod sebanyak RM12.9 bilion pada 2024 dengan pulangan keseluruhan 12.0 peratus.
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) merekodkan pendapatan bersih tertinggi, mencecah rekod sebanyak RM12.9 bilion pada 2024 dengan pulangan keseluruhan 12.0 peratus.
KWAP dalam satu kenyataan itu berkata pelaburan domestik menjana pulangan 12.9 peratus manakala portfolio antarabangsa memberikan pulangan sebanyak sembilan peratus.
"Pendapatan bersih tertinggi ini hasil daripada ekuiti awam yang menjana jumlah pulangan sebanyak 21.9 peratus dengan ekuiti domestik mencapai 23.2 peratus dan ekuiti antarabangsa memperoleh 16.9 peratus," katanya.
Dalam pada itu, saiz dana KWAP meningkat RM15.8 bilion kepada RM185.6 bilion dalam keputusan kewangan tidak diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2024, menunjukkan peningkatan 9.3 peratus daripada RM169.8 bilion pada 2023.
Selepas mengambil kira pengeluaran RM5 bilion untuk membiayai sebahagian duti pencen bayaran pencen oleh kerajaan, peningkatan bersih RM20.8 bilion tahun ke tahun mempamerkan kejayaan berterusan strategi pelaburan berdisiplin KWAP dan tumpuannya terhadap pertumbuhan jangka panjang mampan.
Sejak penubuhannya pada 2007, saiz dana KWAP meningkat empat kali ganda dengan purata pertumbuhan 9.1 peratus setahun.
Strategi peruntukan KWAP kekal pelbagai dan berdaya tahan, 74.6 peratus portfolionya dilaburkan di dalam negara dan 25.4 peratus di luar negara.
Setakat 31 Disember, 2024, portfolio itu diperuntukkan sebagai 51.7 peratus ekuiti, pendapatan tetap (32.4 peratus), ekuiti persendirian (5.4 peratus), hartanah (5.2 peratus) dan infrastruktur dengan baki dalam pengurusan tunai untuk tujuan mudah tunai (2.2 peratus).
"Strategi peruntukan aset ini telah membolehkan KWAP mengoptimumkan pulangan pelaburannya dalam keadaan pasaran yang berbeza-beza," katanya.
Dari segi perkhidmatan persaraan, KWAP memberi perkhidmatan kepada lebih 810,000 penerima pencen di seluruh Malaysia setakat 31 Disember, 2024, mencerminkan peningkatan 2.4 peratus atau lebih 19,000 penerima pencen tambahan berbanding 2023.
KWAP mengekalkan 99.8 peratus skor prestasi perjanjian tahap perkhidmatan, jauh melebihi ambang 95 peratus.
Pengerusi KWAP Datuk Johan Mahmood Merican berkata pendapatan bersih tertinggi ini menggariskan usaha berterusan KWAP untuk memastikan kemampanan kewangan jangka panjang ekosistem pencen berkenaan.
"Kami yakin tumpuan berterusan terhadap pelaburan strategik dan kemampanan akan mengukuhkan lagi sumbangan KWAP kepada ekosistem pencen Malaysia untuk generasi akan datang," katanya.
-- BERNAMA
#KWAP #Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan #pendapatan bersih tertinggi #pelaburan domestik
;