KVG meterai MoU pacu pengembangan dalam pasaran kenaf Indonesia

Bernama
Ogos 16, 2022 07:15 MYT
KVG memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak kerajaan Aceh dan PT Kenaf Diwana Sanjaya di Jakarta pada Selasa. - Foto Facebook/KVG Sdn Bhd
KUALA LUMPUR: Syarikat penanaman dan pengeluar kenaf Malaysia, Kenaf Venture Global Sdn Bhd (KVG) menyasarkan untuk mempercepat usaha pengembangannya di Indonesia serta Asia Tenggara.
Berikutan itu, syarikat terbabit telah memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak kerajaan Aceh dan PT Kenaf Diwana Sanjaya bagi bekerjasama dalam pembangunan teknologi, penyelidikan dan pembangunan biji benih kenaf di wilayah tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif KVG Jazman Shahar Abdollah berkata syarikat itu juga dalam kedudukan tepat untuk mempercepat pengembangannya di Indonesia selain memperkukuh hubungan berkaitan susulan pemeteraian MoU dengan OMEGA Group dan GAMA Group of Indonesia, baru-baru ini.
“Sejajar dengan usaha bagi memaksimumkan potensi perniagaan, KVG dan kumpulan syarikatnya komited untuk membuka potensi serta peluang tanaman dan kenaf menerusi inovasi dalam teknologi itu,” katanya dalam satu kenyataan bersempena majlis pemeteraian MoU tersebut di Jakarta pada Selasa.
"Menurut Jazman, KVG juga berhasrat untuk berada di barisan hadapan kemajuan teknologi berkaitan industri kenaf serta ke arah Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) di Indonesia, dalam memastikan pengeluaran secara cekap serta seiring dengan industri pengeluaran global.
Sementara itu, Pemangku Perekonomian dan Pembangunan Sekretariat serta wakil kerajaan Aceh, Mawardi menyifatkan kerjasama tersebut juga bertepatan dengan Rancangan Kerja Kerajaan yang menggalakkan kehadiran pelabur asing untuk melabur di Indonesia bagi merancakkan ekonomi susulan impak COVID-19.
"Inisiatif pembangunan perniagaan kenaf tersebut turut berperanan sebagai pemacu ke arah konsep hijau serta mampan dan seiring dengan hala tuju PBB-Habitat iaitu Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kata beliau.
“Kenaf boleh dijadikan sebagai komoditi alternatif dalam mengatasi isu kemerosotan tanah. Ini kerana kenaf boleh tumbuh dalam pelbagai jenis tanah, daripada tanah gambut organik hingga di padang pasir.
“Malah, kenaf yang turut dikenali sebagai jut, juga mampu hidup di tanah yang telah terjejas akibat banjir, kurang subur selain bersifat tahan kemarau,'' katanya.
Menurutnya, kenaf juga banyak digunakan sebagai bahan mentah bagi penghasilan produk termasuk karung guni, permaidani, tekstil khusus serta hasil kraf.
#industri kenaf #Kenaf Venture Global #T Kenaf Diwana Sanjaya #kenaf Aceh
;