Kutipan cukai rendah, IMF gesa Malaysia wujud strategi tambah hasil
Bernama
Jun 2, 2023 05:19 MYT
Jun 2, 2023 05:19 MYT
KUALA LUMPUR: Usaha mewujudkan strategi hasil jangka sederhana (MTRS) kekal menjadi keutamaan segera bagi Malaysia berikutan hasil kutipan cukainya yang terendah dalam kelompok Asean-5 dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) serta terus menurun, kata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Pada 2021, hasil cukai Malaysia berjumlah kira-kira 11 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
IMF berkata walaupun Belanjawan 2023 menekankan komitmen dari segi meningkatkan kutipan hasil dengan meminimumkan ketirisan dan menambah pematuhan cukai berpandukan MTRS, namun Malaysia tidak mempunyai langkah peningkatan hasil jangka sederhana tertentu serta tempoh masa bagi tujuan tersebut.
"Memandangkan tiada sebarang rancangan untuk melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tahun ini, usaha persediaan bagi memperkenalkannya semula perlu dimulakan segera bagi menjadi asas menggerakkan sumber hasil yang konsisten dengan gesaan bagi penggubalan langkah berkualiti serta mampu bertahan," katanya dalam Laporan Perundingan-Konsultasi dan Kakitangan Artikel IV bagi Malaysia: 2023 yang dikeluarkan pada 1 Jun.
Pada masa sama, IMF berkata kerajaan perlu mempertimbang untuk memperkenalkan semula cukai karbon yang dapat menyumbang anggaran 1.0-3.0 peratus daripada KDNK setahun dalam hasil fiskal menjelang 2030.
"Kakitangan terbabit menggesa pihak berkuasa mengutamakan pembangunan MTRS termasuk kerja asas kuantitatif diperlukan dalam penetapan jurang serta mengenal pasti matlamat berikutan keperluan perbelanjaan Malaysia yang signifikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dan sasaran mencapai status negara berpendapatan tinggi.
"Berikutan itu, permintaan pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan teknikal daripada IMF mengenai MRTS adalah langkah pertama yang amat menggalakkan dan bertepatan dengan kapasiti penyepaduan pemantauan pembangunan," katanya.
Selain itu, IMF juga berpendapat bahawa dasar monetari Malaysia perlu diperketat lagi bagi membolehkan pendirian neutral dan Bank Negara Malaysia (BNM) perlu memberi penerangan jelas bagi keputusan dasarnya di tengah-tengah ketidaktentuan yang ketara.
Menurutnya, inflasi teras masih tinggi dalam jurang output yang positif serta bukti peningkatan tekanan dari segi permintaan, hanya menunjukkan keperluan peralihan dasar monetari kepada pendirian lebih neutral dalam usaha memastikan inflasi dapat dibendung dan mengambil kira jangkaan.
"Unjuran oleh kakitangan mengenai kadar sebenar neutral menunjukkan bahawa dasar monetari pada masa ini kekal akomodatif.
"Analisis petugas itu menunjukkan bahawa kos output jangka pendek dasar monetari yang diperketat seperti nisbah pelepasan adalah rendah di Malaysia. Sebahagiannya daripadanya adalah disebabkan oleh keterbukaan ekonomi yang tinggi," katanya.
Selain itu, analisis berkenaan juga memaparkan transmisi dasar monetari itu sebaliknya boleh menjadi lemah dan berlanjutan lebih lama dalam persekitaran inflasi yang tinggi, sekali gus memerlukan tindakan awal.
Kadar pertukaran asing pula akan terus berperanan sebagai penyerap kejutan yang berlaku, katanya.
Bagaimanapun, IMF mengingatkan bahawa intervensi pertukaran asing (FXI) bukanlah pengganti bagi pelarasan dasar yang diperlukan dan tidak harus dijadikan penampan terhadap tekanan kadar pertukaran asing yang dipacu oleh asas-asas.
"Sehubungan itu, peranan bagi FXI itu diperlukan bagi menangani keadaan ketidaktentuan pasaran dan sebagai memberi tindak balas terhadap kejutan besar serta relevan apabila terdapat impak serta kos tinggi," katanya.
-- BERNAMA