Kutip cukai lebih tinggi daripada syarikat untung besar ketika pandemik - Tun Mahathir

Najib Aroff
Julai 14, 2021 17:18 MYT
Dr Mahathir mengesa kerajaan supaya mengurus dana dengan lebih baik dan memberikan tumpuan khas kepada mengawal COVID-19 berbanding perkara lain. - Foto fail
Kuala Lumpur: Cukai keuntungan luar biasa atau windfall tax harus diperkenalkan segera bagi meningkatkan pendapatan kerajaan dan digunakan untuk mengekang penularan COVID-19, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tambahnya ini kerana banyak syarikat seperti pengeluar sarung tangan getah dan institusi kewangan meraih keuntungan luar biasa ketika pandemik melanda, namun masih membayar cukai pada kadar sama iaitu 26 peratus.
"Waktu darurat seperti ini kerajaan perlu mempunyai banyak wang untuk dibelanjakan kerana kita perlu membantu golongan miskin untuk beri mereka pendapatan dan makanan. Ini memerlukan kewangan.
"Jika kita ikut sistem percukaian biasa, dengan aktiviti ekonomi yang kurang, maka kerajaan akan mendapat cukai yang kurang.
"Kita perlu imbangi kembali kesan pandemik ini supaya syarikat yang meraih untung besar (ketika pandemik) membantu usaha menolong golongan terjejas. Windfall tax boleh diperkenalkan. Ini bukan sesuatu yang luar biasa," katanya pada forum Reset Malaysia : Mampukah ekonomi negara diselamatkan?.
Turut senada dengan beliau adalah Pakar Ekonomi, Prof Jomo Kwame Sundaram yang berpendapat hanya cukai keuntungan luar biasa dapat membantu meningkatkan pendapatan kerajaan.
Windfall tax merupakan satu bentuk cukai tambahan yang dikenakan kerajaan terhadap perniagaan atau sektor ekonomi yang meraih manfaat besar dalam situasi ekonomi tertentu.
Sementara itu Dr Mahathir dan Jomo senada bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak wajar diperkenalkan semula terutama pada waktu ini.
"Cukai baharu ini (GST) tidak akan mengurangkan masalah secara keseluruhan yang dihadapi kerajaan kerana kerajaan kini tidak dapat mengutip cukai (kerana perniagaan tidak beroperasi), tetapi (kerajaan) perlu fikir tentang windfall tax," kata Dr Mahathir.
Jomo pula berkata cukai langsung harus ditingkatkan bagi menambah baik sistem kutipan hasil negara.
"Kita lebih banyak kutip cukai tidak langsung dan kurang mengutip cukai langsung. GST hanya salah satu cara untuk rasionalisasikan sistem percukaian dan tidak mendatangkan faedah besar (ketika ini) kerana urusan perniagaan tidak boleh dijalankan (secara penuh) ketika ini.
"Untuk jangka panjang kita perlukan cukai langsung dan yang penting untuk jangka pendek adalah windfall tax dan tidak ada asas untuk ditangguhkan lagi," kata Jomo.
Sementara itu Dr Mahathir mengesa kerajaan supaya mengurus dana dengan lebih baik dan memberikan tumpuan khas kepada mengawal COVID-19 berbanding perkara lain.
"Gunakan semua kuasa dan wang yang kita ada untuk melawan COVID-19. Bina hospital sementara, belanja pun tidak banyak mungkin RM100 juta. Ada juga hospital sudah siap kita belum guna, ada juga tempat yang orang boleh beri kita pinjam, kita tidak guna.
"Kerajaan boleh jimat besar jika menyalurkan semula dana dari perkara bukan asas kepada perkara asas. Perkara asas yang menyebabkan kita lockdown.
"Sediakan dana untuk orang yang memerlukan makanan dan pendapatan," katanya.
#Mahathir Mohamad #GST #ekonomi #cukai #COVID-19 #pandemik #Dr Jomo Kwame Sundaram #windfall tax
;