KUSKOP seru setiap agensi perkasa operasi perbankan digital, khususnya AI
Bernama
Mei 18, 2024 20:28 MYT
Mei 18, 2024 20:28 MYT
KUALA LUMPUR: Semua agensi di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi diseru memperkasa operasi perbankan digital masing-masing khususnya melibatkan bidang kecerdasan buatan (AI).
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R Ramanan berkata ia bagi menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa penggunaan sistem AI dalam negara diperluas.
"Negara lain sudah mengarah ke dunia digitalisasi ini, kita perlu mengambil kesempatan dan masa ini untuk upgrade diri kita masuk ke digital banking sekali gus kita tidak akan ketinggalan," katanya kepada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan 2024 Bank Rakyat, di sini, hari ini.
Selain Bank Rakyat, agensi lain di bawah seliaan kementerian itu termasuk SME Bank, TEKUN Nasional, Institut Koperasi Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
Ramanan berkata 902 perwakilan Bank Rakyat seluruh negara hadir ke mesyuarat itu bagi memberi idea untuk membawa institusi perbankan itu ke peringkat seterusnya.
"Kalau kita tengok perwakilan ini adalah sebagai "tulang belakang" kepada Bank Rakyat yang akan membawa bank ini ke tahap lebih tinggi. Saya amat bangga dengan pengurusan Bank Rakyat ini," katanya.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya Ramanan berkata kementerian itu sentiasa menyokong penuh inisiatif Bank Rakyat dalam memacu pembangunan sektor keusahawanan serta koperasi negara.
"Komitmen berterusan Bank Rakyat menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif keusahawanan seperti Program Santai Namun Sampai, RAKYATpreneur, Bank Rakyat UNIpreneur serta inisiatif SUTERA yang menghubungkan usahawan dengan pelbagai pihak berkepentingan telah memberikan impak besar.
"Usaha ini amat sejajar dengan matlamat KUSKOP menerusi Dasar Keusahawanan Nasional dalam melahirkan usahawan berdaya saing dan kompetitif di pasaran domestik mahu pun global sekali gus menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan yang unggul menjelang 2030," katanya.
Sementara itu Ramanan berkata beliau berpendapat tiada keperluan untuk sebuah jawatankuasa lagi ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan semua perancangan dan program masyarakat India seperti yang dicadangkan Majlis Penasihat India Selangor (SICC).
Beliau yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) berkata jawatankuasa sedia ada perlu dikekalkan dan berusaha menjalankan tugas dengan lebih baik.
"Masalah kita sekarang, semua nak duduk di satu tempat untuk melaksanakan satu tugas, tetapi masalahnya 10 orang melaksanakan tugas sama. Jadi bila 10 orang buat tugas sama, A cakap B ke kanan dan B cakap A pergi kiri, akhirnya kita tengok sudah sampai sebulan, dan apa pun tidak jadi," katanya.
-- BERNAMA