KUSKOP, QSB berpotensi jalin kerjasama majukan PKS di Sabah - Ewon

Bernama
November 14, 2024 04:00 MYT
Ewon (tengah) mengunjungi QSB di Menara Kinabalu di Kota Kinabalu, semalam. Turut kelihatan, Yusof (empat, kanan) dan Bernard (tiga, kanan). - Facebook Ewon Benedick Official Media
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Qhazanah Sabah Berhad (QSB) berpotensi untuk menjalin kerjasama bagi membantu membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sabah.
QSB yang diperbadankan pada 6 April 1995, adalah syarikat cabang pelaburan Kerajaan Negeri Sabah.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata bagi merealisasikan kerjasama itu, QSB disarankan menjadi syarikat vendor berdaftar dengan KUSKOP.
"Program Pembangunan Vendor (PPV) membuka peluang kepada para vendor yang berdaftar dengan syarikat 'anchor' (induk) mendapatkan bimbingan dari segi latihan, teknikal dan khidmat nasihat serta peningkatan produktiviti," katanya dalam kenyataan selepas mengunjungi QSB di Menara Kinabalu di sini, semalam.
Ewon telah disambut oleh Pengerusi QSB Datuk Dr Yusof Yacob dan majlis itu turut dihadiri oleh Pengerusi SME Corp Tan Sri Bernard Dompok dan Pengarah SME Corp Sabah Valentine Thomas.
Dalam kunjungan itu, Ewon turut diberi taklimat berkaitan SME Investment Partner (SIP) Programme yang dilaksanakan oleh QSB menerusi Qhazanah Investment dengan sokongan dana daripada SME Corp yang juga agensi KUSKOP.
"Saya sangat berpuas hati dengan pencapaian cemerlang Qhazanah Investment yang memastikan dana SIP dilaburkan ke syarikat-syarikat PKS yang pada hari ini berjaya memberi pulangan pelaburan," katanya.
QSB terlibat dalam pelbagai sektor ekonomi antaranya pengurusan dan perkhidmatan pelabuhan, telekomunikasi, pemilikan kenderaan bermotor dan perkhidmatan berkaitan pengangkutan, tenaga, pembangunan dan pemilikan hartanah, pensterilan dan penyediaan perkhidmatan perubatan.
-- BERNAMA
#Kuskop #QSB #syarikat induk #PKS Sabah #Ewon Benedick
;