KUSKOP peruntuk RM5 juta laksana program keusahawanan siswazah
Bernama
Mac 13, 2023 04:15 MYT
Mac 13, 2023 04:15 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi melaksanakan program keusahawanan melibatkan siswazah tahun ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, pelaksanaan program melalui Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTEGE) itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 12,450 siswazah.
"Ini melibatkan pelaksanaan program Latihan Intensif dalam talian bagi Usahawan Generasi Baru (N-GENE) dan Program Usahawan Perantis (SPACE).
"Selain itu, Program Penempatan Latihan Kerjaya dan Keusahawanan TVET (GRACE), Latihan Asas Keusahawanan (ETR 101) dan Program Kembara Kerjaya (ROAD)," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang meminta jaminan kerajaan untuk terus membantu golongan usahawan khususnya usahawan belia dalam memastikan kelangsungan perniagaan mereka dalam menghadapi krisis ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun ini.
Ewon berkata, kementerian itu menerusi agensinya telah menyediakan pelbagai dana khusus dan latihan keusahawanan pada 2023 bagi membantu usahawan belia untuk meneruskan kelangsungan perniagaan.
Antara lain adalah menerusi TEKUN Nasional dengan peruntukan khas sebanyak RM10 juta melalui Program Tekun Niaga yang dijangka dapat memberi manfaat kepada 1,000 usahawan belia.
"Selain itu, usahawan belia juga boleh memohon pembiayaan TEKUN Nasional melalui produk seperti Program Pembangunan Usahawan Siswazah (PPUS), Program Usahawan Profesional Muda Bumiputera, Program KPT-MEDAC Siswapreneur dan Skim Pembiayaan Online TEKUN (SPOT).
"Di bawah SME Corp, sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang dijangka memberi manfaat kepada 250 usahawan belia," katanya. - BERNAMA