KUSKOP labur RM62 juta bina ekosistem keusahawanan menyeluruh

Israr Khalid
Februari 23, 2024 13:51 MYT
Dari kiri, Mohairi Mohamad, Ewon Benedick, Pengerusi Pernas Datuk Hazimah Zainuddin dan Datuk Ramanan Ramakrishnan pada Majlis Peluncuran Flagship Store 1901 Frankfurter & Gloria Jean's Coffees di Menara Pernas, Bangsar, semalam. - Foto KUSKOP
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya Pernas akan melabur RM62 juta dalam inisiatif menambah 50 outlet Gloria Jean’s Coffees dan 100 outlet 1901 Frankfurters hingga 2029.
Usaha yang akan digerakkan syarikat milik penuh Pernas iaitu Malaysia International Franchise Sdn Bhd (MyFranchise) mensasarkan penciptaan sehingga 900 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.
Menerusi pelan strategik tersebut, MyFranchise bermatlamat untuk membina ekosistem keusahawanan menyeluruh meliputi penambahbaikan rantaian bekalan (dapur pusat), logistik, pemerkasaan pemasaran juga rangkaian bahan mentah.
Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick berkata, ia selaras dengan Dasar Pembangunan Usahawan Francais Nasional 2030 (DPUF 2030) yang kini sedang dimuktamadkan, untuk memastikan ekosistem keusahawanan francais di negara ini berkembang dengan lebih teratur dan berstruktur.
“Ia sekali gus membuka lebih banyak peluang dan meningkatkan potensi keusahawanan di Malaysia, dengan nilai pasaran sasaran jualan francais sebanyak RM100 bilion menjelang 2030,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran “Flagship Store” Gloria Jean’s Coffees dan 1901 Frankfurters di Menara Pernas, Bangsar pada Khamis.
Sementara itu kata Ketua Pegawai Eksekutif MyFranchise, Ahmad Jeoffrey Aladib, pihaknya dari masa ke masa akan mengadakan pembentangan peluang perniagaan yang tidak hanya untuk bakal pemegang francais, tetapi juga mereka yang mahu terlibat dalam ekosistem tersebut dalam pelbagai peranan, dan mengembangkan ekosistem tersebut sampai berdaya mampan.
“Salah satu perkara yang kami akan titik beratkan adalah latihan berterusan, di mana kita akan mengadakan latihan “on-the-go” untuk membolehkan mereka yang terlibat meningkatkan kemahiran di mana sahaja.
“Daripada peningkatan kemahiran seterusnya peningkatan produktiviti, seseorang itu dapat meningkatkan pendapatan serta posisi - daripada barista kepada bos. Itu programnya.”
Unjuran kos pembukaan sebuah ‘Flagship Store’ Gloria Jean’s Coffees adalah RM1 juta, yang membawa pulangan jualan sekitar RM1.8 juta setahun bagi setiap cawangan.
Sementara bagi 1901 Frankfurters pula unjuran kos pembukaan sebuah ‘Flagship Store’ adalah RM120,000, yang membawa pulangan jualan sehingga RM600,000 setahun bagi setiap cawangan.
Labur RM62 juta bina ekosistem keusahawanan menyeluruh
#Kuskop #Gloria Jean s Coffees #Pernas #francais
;