Kurangkan harga barang mampu rancakkan ekonomi tempatan - Penganalisis
Astro Awani
September 25, 2020 16:00 MYT
September 25, 2020 16:00 MYT
SERDANG: Pengurangan harga barang keperluan harian dan cukai pendapatan individu antara langkah jangka panjang yang mampu meringankan beban rakyat ketika ini.
Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Azali Mohamed, berkata kerajaan boleh berbincang dengan pemilik pasar raya besar bagi menurunkan harga barang basah untuk membantu meringankan beban rakyat.
Katanya, sekiranya keperluan asas termasuk harga barangan seperti ayam, bawang dan sayur-sayuran dapat dikurangkan sebanyak 20 peratus, ia sedikit sebanyak dapat menjimatkan wang rakyat.
“Kerajaan boleh berbincang dengan pemilik pasar raya besar mengenai perkara ini seterusnya mendapatkan kerjasama mereka untuk menurunkan harga barang.
“Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 bermanfaat serta sesuai dengan keadaan negara sekarang terutama kepada kumpulan sasar yang terkesan akibat COVID-19, namun bersifat sementara, justeru langkah lebih panjang perlu dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bagi mengulas mengenai inisiatif dan bantuan khusus di bawah pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin berjumlah RM10 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.
Sambil menyatakan rakyat memerlukan inisiatif seumpama itu, Azali menegaskan kini adalah masa yang tepat untuk membantu mengurangkan beban rakyat terutama apabila berdepan dengan kesan wabak COVID-19.
Mengulas lanjut, katanya, penurunan cukai pendapatan individu sebanyak dua hingga tiga peratus pula akan menggalakkan aliran tunai seterusnya merancakkan ekonomi domestik.
“Penurunan ini bukan untuk setahun, tetapi mungkin boleh dimulakan dengan percukaian untuk tempoh Jun hingga Disember tahun ini.
“Pendapatan negara akan sedikit berkurangan, tetapi langkah ini akan membolehkan rakyat mempunyai duit lebih untuk berbelanja dan cara ini juga mampu merancakkan ekonomi tempatan,” katanya.
#Perdana Menteri
#Muhyiddin Yassin
#BPN 2 0
#KITA PRIHATIN
#UPM
#Azali Mohamed
#COVID-19
#kerajaan
#sekolah
#ekonomi