Kumpulan AirAsia kendali 50.68 juta penumpang pada 2015

Bernama
Februari 16, 2016 00:39 MYT
Bagaimanapun, bagi AirAsia Indonesia, bilangan penumpangnya susut sebanyak 17 peratus kepada 6.52 juta orang pada tahun lepas berbanding 7.85 juta bagi tempoh sebelumnya. - Gambar fail
Bilangan penumpang kendalian Kumpulan AirAsia meningkat sebanyak 11 peratus kepada 50.68 juta orang bagi tahun kewangan berakhir 2015 berbanding 45.58 juta orang pada 2014.
Dalam maklumat awal statistik operasinya yang diumumkan pada Isnin, syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata, kapasitinya turut meningkat sembilan peratus kepada 63.34 juta berbanding 58.16 juta sebelum ini.
"Bagi perbandingan tahun ke tahun, faktor muatan itu meningkat sebanyak dua mata peratusan kepada 80 peratus," katanya.
Menurutnya, AirAsia Malaysia (MAA) mencatat peningkatan bilangan penumpang sebanyak 10 peratus pada tahun lepas kepada 24.25 juta orang, kapasitinya meningkat tujuh peratus kepada 30.08 juta manakala faktor muatan bertambah dua mata peratusan.
Bagi unitnya di negara lain, AirAsia India menyaksikan bilangan penumpang melonjak sebanyak 324 peratus kepada 1.46 juta pada 2015 berbanding 345,298 pada 2014, kapasitinya meningkat sebanyak 322 peratus kepada 1.82 juta daripada 430,560 dan faktor muatan menokok satu mata peratusan tahun ke tahun kepada 81 peratus.
Bagaimanapun, bagi AirAsia Indonesia, bilangan penumpangnya susut sebanyak 17 peratus kepada 6.52 juta orang pada tahun lepas berbanding 7.85 juta bagi tempoh sebelumnya, kapasiti turut merosot 13 peratus kepada 8.76 juta daripada 10.04 juta.
Faktor muatannya juga berkurangan empat peratus kepada 74 mata peratusan bagi tahun ke tahun.
Bagi suku keempat berakhir 31 Dis, 2015 (4Q15), faktor muatan meningkat sebanyak lima peratus kepada 83 peratus berbanding suku sama pada 2014.
Menurut syarikat tambang rendah itu, bilangan penumpangnya meningkat sebanyak 12 peratus bagi tahun ke tahun kepada 13.5 juta orang dan kapasitinya bertambah enam peratus.
"Pada akhir 2015, kumpulan ini mempunyai 170 pesawat (171 termasuk satu pesawat yang diserahkan kepada AirAsia Jepun pada 4Q15 yang belum memulakan operasi)," katanya.
MAA mencatatkan faktor muatan sebanyak 85 peratus pada 4Q15 iaitu meningkat tujuh mata peratusan bagi tahun ke tahun.
AirAsia berkata permintaan ternyata melebihi kapasitinya iaitu peningkatan 10 peratus bagi jumlah penumpang kendaliannya kepada 6.5 juta orang dan pertambahan satu mata peratusan bagi kapasiti tahun ke tahun.
"MAA mengakhiri suku itu dengan sejumlah 80 pesawat (kendaliannya). Tiga laluan baharu dimulakan dalam suku berkenaan iaitu Kuala Lumpur-Male, Changsha dan Colombo. Kekerapan turut ditambah bagi tiga laluan penerbangan iaitu Kuala Lumpur-Kochi dan Jakarta serta Johor Baharu-Ho Chi Minh," katanya.
Selain itu, AirAsia Thailand mencatatkan faktor muatan sebanyak 82 peratus pada 4Q15 iaitu peningkatan tiga peratus bagi mata peratusan tahun ke tahun manakala AirAsia Indonesia mengekalkannya pada 80 peratus.
Bagi AirAsia Filipina, aspek faktor muatannya meningkat sembilan peratus kepada 81 peratus manakala AirAsia India 84 peratus iaitu bertambah satu peratus berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.
#airasia malaysia #bilangan penumpang AirAsia #Kumpulan AirAsia #statistik operasi AirAsia