Kuching Global City tumpu CBS
Dania Zainuddin
Mei 22, 2015 20:30 MYT
Mei 22, 2015 20:30 MYT
Sejajar dengan aspirasi kerajaan menjadikan Bandaraya Kuching sebagai Global City, pelan pembangunan yang bertumpukan elemen 'Clean, Beautiful, Safe' (CBS) dijangka mampu menyokong usaha itu menjelang 2017.
Datuk Bandar Kuching Utara (DBKU), Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata, pelan itu memainkan peranan penting dalam memastikan bandaraya itu terus maju di peringkat global.
Pelan CBS adalah pelan lima tahun yang diperkenalkan pada 2012 bagi memastikan Bandaraya Kuching setanding dengan negara luar.
"Hasrat kami memandangkan ia adalah pelan lima tahun, menjelang 2017, Bandaraya Kuching akan terkenal sebagai bandaraya yang cantik, bersih dan selamat.
“Ia akan menjadi buah mulut orang bukan sahaja orang tempatan, bahkan setiap pelancong yang datang ke Kuching akan melihatnya," kata Abang Abdul Wahap dalam satu temubual.
Beliau turut berkata kerjasama pelbagai pihak diperlukan dalam memastikan Kuching setaraf diperingkat global dan elemen tersebut disifatkan mampu menarik pelabur luar negara untuk terus melabur di Kuching.
"Kita ingin supaya bandaraya ini terus berkembang sebagai satu bandaraya yang mampu menarik pelaburan, bandaraya yang bersih, bandaraya yang selamat.
"Oleh demikian, kita di Dewan Bandaraya Kuching Utara sedang rancak dalam melaksanakan pelan menambahbaikkan CBS," katanya lagi.
Pelbagai program telah diwujudkan bagi meningkatkan pengetahuan orang ramai mengenai usaha ini supaya dapat memastikan penglibatan semua pihak termasuk penduduk bandar dan luar bandar dalam menaiktaraf pembinaan infrastruktur bagi kemudahan semua pihak.