Ku Li cadang satu pelan ekonomi baharu berasaskan merit
Astro Awani
September 26, 2013 12:44 MYT
September 26, 2013 12:44 MYT
Tengku Razaleigh Hamzah mencadangkan satu pelan ekonomi baharu bagi menggantikan dasar ekonomi yang berteraskan kepada semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) demi masa depan negara ini.
Beliau menamakan pelan ekonomi baharu itu sebagai Pelan Tindakan Ekonomi Amanah Negara atau Pelan Amanah.
"Ia akan jadi rangka tindakan muktamad dalam usaha nasional bagi menyatukan semua kaum, memastikan kemakmuran untuk semua dan mencapai hala tuju bersama demi negara tercinta ini," katanya.
Tengku Razaleigh membentangkan pelan itu dalam ucaptamanya semasa merasmikan sidang meja bulat ekonomi anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa di sini, hari ini.
Katanya, pelan baru itu adalah sesuatu yang sangat diperlukan oleh negara sekarang setelah mengambil kira perubahan landskap politik sejak pilihan raya umum pada 2008.
Menurut beliau, Pelan Amanah itu akan melibatkan semua pihak tanpa mengecualikan sesiapa dengan matlamat akhir ke arah pengagihan yang lebih adil berasaskan merit dan keperluan masyarakat.
Ini termasuk usaha mengutamakan urus tadbir yang baik, ketelusan dasar dan pelaksanaan yang cekap, menghapuskan rasuah dan menangani ketirisan dalam kerajaan dan sektor swasta.
Jelas Tengku Razaleigh, Pelan Amanah itu juga melibatkan pengukuhan sistem kehakiman dan kembali kepada nilai demokrasi yang sebenar.
Pelan itu mahu mencapai semula pertumbuhan ekonomi negara pada kadar 7 hingga 8 peratus setahun seperti yang dikecapi pada 1990-an dalam masa 10 tahun akan datang.
Ia juga mahu menstruktur semula masyarakat bagi mencapai cita-cita negara berpendapatan tinggi berasaskan kepada produktiviti, meritokrasi dan keperluan. Ia juga mahu melahirkan kumpulan kelas menengah melalui reformasi sistem pendidikan dan pemilikan hartanah termasuk rumah mampu milik.
Menurut Tengku Razaleigh, Pelan Amanah itu akan dilaksanakan melalui empat strategi yang meliputi soal pembangunan infrastruktur, pembangunan modal insan, pembangunan pertanian dan industri serta kewangan Islam.
Jelas beliau, pelan ekonomi itu akan dibangunkan dengan dana antaranya daripada penyelarasan subsidi makanan dan tenaga yang akan membolehkan kerajaan menyalurkan penjimatan untuk melaksanakan pelan tersebut.
Beliau memberikan contoh bagaimana subsidi gas oleh Petronas disalurkan kepada pengeluar tenaga bebas yang menikmati keuntungan yang dibebani oleh rakyat.
Tengku Razaleigh juga mencadangkan pelaksanaan projek infrastruktur melalui kerjasama sektor awam dan swasta serta inisiatif pembiayaan swasta namun dengan pendekatan baru yang menangani masalah ketelusan dalam pemberian kontrak yang menjadi masalah selama ini.
Jelas beliau, semua usaha itu akan diselaraskan oleh sebuah suruhanjaya yang akan menggantikan majlis ekonomi sedia ada dan bertanggungjawab kepada Parlimen.
"Kita … tidak mempunyai banyak masa untuk bertangguh-tangguh dalam isu-isu yang menjadi kepentingan negara sekarang," katanya menutup ucaptama itu.
Tegas beliau, pemimpin akan mengkhianati mandat yang diberikan oleh rakyat sekiranya mereka sibuk dengan slogan politik dan mencipta mitos tentang pembangunan yang dicapai sejak DEB.
"Kita — anda dan saya dan semua rakyat Malaysia — harus memperbaharui azam untuk membina sebuah negara yang bersatu dan makmur atas asas yang telah dibina oleh pemimpin sebelum ini," katanya.
Tegas beliau lagi, hanya dengan komitmen ke arah perubahan dasar dan institusi itu sajalah kerajaan boleh meraih semula kepercayaan rakyat.