Kredit Malaysia kekal mantap di tengah-tengah pemulihan ekonomi - RAM Ratings

Bernama
Ogos 26, 2022 21:35 MYT
RAM Ratings berkata profil portfolio penarafannya kekal teguh dengan kira-kira 80 peratus mendapat penarafan AA3 atau lebih tinggi yang menunjukkan keupayaan kukuh bagi memenuhi obligasi hutang tepat pada masanya. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: RAM Ratings berkata profil portfolio penarafannya kekal teguh dengan kira-kira 80 peratus mendapat penarafan AA3 atau lebih tinggi yang menunjukkan keupayaan kukuh bagi memenuhi obligasi hutang tepat pada masanya.
Dalam satu kenyataan, agensi penarafan itu berkata, prestasi syarikat tersenarai di Bursa Malaysia baru-baru ini menunjukkan kunci kira-kira korporat kekal sihat pada suku pertama 2022, dengan 60 peratus mencatatkan pertumbuhan keuntungan tahun ke tahun sambil mengekalkan perkembangan konservatif. (median: 0.21 kali).
Ia berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 6.9 peratus pada separuh pertama 2022 (H1 2022), melebihi jangkaan (H1 2021: tujuh peratus) yang disokong oleh pemulihan ekonomi yang kukuh dan eksport yang mampan.
"Pasaran kerja kekal positif dan sementara itu, inflasi domestik walaupun meningkat, ia masih terkawal disebabkan oleh kawalan harga. Ini sepatutnya mendorong pertumbuhan ekonomi tahun ini.
"Sebaliknya, apa yang berlaku ialah masalah luaran pula muncul," katanya dalam satu kenyataan selepas keluarnya laporan `Corporate Default and Rating Transition Study.'
Laporan kajian itu menyediakan kemas kini tentang prestasi kredit portfolio korporat yang dinilai oleh RAM Ratings pada separuh pertama 2022.
Agensi penarafan itu berkata, risiko kelembapan ekonomi global, peningkatan dalam inflasi dan gangguan rantaian bekalan yang berterusan disebabkan oleh sekatan pergerakan di China dan perang Rusia-Ukraine boleh menjejaskan prospek pertumbuhan domestik pada separuh kedua 2022.
Ia menambah bahawa langkah RAM Ratings, termasuk menyemak semula prospek, masih negatif untuk separuh pertama 2022, dengan tiga tindakan negatif (iaitu satu menurunkan penarafan dan dua menyemak semula prospek) berbanding hanya satu yang dinaik taraf.
"Melihat ke hadapan, tindakan memberi penarafan masih boleh berlarutan dalam keadaan negatif kerana penerbitan dengan prospek negatif terus mengatasi mereka yang mempunyai prospek positif pada kadar 3:1 pada akhir Jun 2022.
"Hanya bilangan yang terhad (kurang dua peratus) dianggap berisiko tinggi untuk mungkir walaupun perkara ini kebanyakannya adalah dijamin, yang mengurangkan kerugian pelabur sekiranya berlaku kemungkiran."
-- BERNAMA
#kredit Malaysia #RAM Ratings #penarafan AA3 #agensi penarafan #KDNK #pemulihan ekonomi
;