KPRJ dan Terengganu Inc gabung daya, buka laluan projek transformatif
Amzar Alif
Julai 27, 2024 13:17 MYT
Julai 27, 2024 13:17 MYT
KUALA LUMPUR: Dalam usaha memperkukuh hubungan antara negeri dan memacu pertumbuhan ekonomi, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) dan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) telah memeterai satu memorandum persefahaman (MoU).
Kerjasama strategik ini bertujuan untuk meneroka dan membangunkan pelbagai projek serta inisiatif yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negeri Johor dan Terengganu.
MoU yang ditandatangani hari ini juga menandakan satu langkah penting dalam usaha kedua-dua pihak untuk mengenal pasti peluang perniagaan yang berpotensi tinggi, serta menggalakkan inovasi dan pembangunan mampan di kedua-dua wilayah.
Menurut Ketua Pegawai Operasi KPRJ, Zainal Abidin Zakaria, beliau optimis akan potensi yang bakal hadir melalui kerjasama tersebut dan berharap dapat memanfaatkan kepakaran masing-masing.
“Dengan menggabungkan kekuatan kedua-dua organisasi ini, ia bakal memacu pertumbuhan ekonomi seterusnya mencapai kerjasama dan sinergi yang lebih baik untuk Johor dan Terengganu,” ujarnya.
Senada dengan pandangan tersebut, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed yang menyatakan bahawa kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama untuk pembangunan mampan dan inovasi.
"Kami berharap dapat meneroka peluang-peluang baharu yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negeri," tambahnya.
Katanya lagi, perjanjian MoU ini membuka jalan bagi kerjasama yang lebih dinamik antara KPRJ dan Terengganu Inc, yang dijangka akan membawa impak positif terhadap pembangunan ekonomi kedua-dua negeri.
Majlis menandatangani MOU ini telah diadakan sempena Ekspo Pelaburan & Perindustrian Selangor ke-4 yang berlangsung dari 25 hingga 27 Julai 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).