KPPK yakin lawatan PM ke Turkiye bakal perkukuh eksport minyak sawit negara - Zuraida

Kenyataan Media
Julai 12, 2022 04:10 MYT
KPPK optimistik hubungan dua hala Malaysia-Turkiye akan terus berkembang terutamanya dalam sektor perdagangan dan eksport komoditi negara seperti minyak sawit. - Foto BERNAMA
BERIKUT adalah kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin:
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yakin lawatan rasmi Perdana Menteri YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke republik itu baru-baru ini bakal perkukuh hubungan dua hala dengan Ankara.
Kementerian optimistik hubungan dua hala Malaysia-Turkiye akan terus berkembang terutamanya dalam sektor perdagangan dan eksport komoditi negara seperti minyak sawit. Selain meningkatkan hubungan diplomatik, lawatan terbaru YAB Perdana Menteri Malaysia juga telah membina jaringan hubungan yang lebih erat antara komuniti perniagaan kedua-dua negara dan seterusnya meningkatkan keyakinan Turkiye terhadap kualiti minyak sawit negara.
YAB Datuk Seri Ismail Sabri dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan juga menyaksikan beberapa memorandum of understanding (MoU) ditandatangani antara kedua-dua negara yang secara langsung menyokong usaha Kementerian untuk meningkatkan eksport komoditi negara. Ia adalah bertepatan dengan misi perdagangan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) ke negara itu bermula pada 26 Mac sehingga 30 Mac tahun ini.
Semasa lawatan itu, saya telah bertemu Menteri Perdagangan Turkiye Dr Mehmet Mus di mana satu perbincangan mengenai hasrat Malaysia untuk mempergiatkan aktiviti hiliran industri minyak sawit telah dilakukan. Malaysia juga telah menawarkan kepakaran dalam teknologi getah asli, terutamanya dalam galas getah seismik yang mampu menyerap gegaran gempa bumi untuk industri pembinaan, termasuk jambatan dan landasan kereta api yang kini sedang berkembang pesat di Turkiye.
Bagi tujuan ini, Kementerian menghargai usaha Turkiye dalam memberi pengecualian cukai hasil melalui Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia- Turkiye (MTFTA) yang ditandatangani pada 2019. Ini juga memudahkan perbincangan untuk menjadikan Turkiye sebagai hab produk komoditi Agri Malaysia ke Eropah dan Asia Tengah.
Dalam hal perdagangan minyak sawit, KPPK juga telah menjelaskan pelbagai isu berkaitan usaha pihak tertentu yang memainkan kempen anti minyak sawit dan produk berkaitan sambil menyeru Turkiye untuk menyokong Malaysia. Selain daripada itu, pelbagai mesyuarat berasingan telah diadakan dengan pemain industri di Ankara untuk mempromosikan produk agrikomoditi utama negara seperti minyak sawit, getah, kayu, koko dan lada.
Semasa lawatan kerja ke Turkiye, saya juga telah mengambil peluang untuk berbincang dengan ramai pemain industri di sana tentang faedah minyak sawit dan menyangkal berita palsu mengenai industri sawit di Malaysia.
Sehingga ke hari ini, Turkiye kekal sebagai pasaran penting bagi komoditi keluaran negara. Pada 2021, nilai perdagangan produk komoditi pertanian Malaysia dengan Turkiye bernilai RM6.02 bilion dengan nilai eksport RM5.99 bilion. Eksport produk pertanian komoditi Malaysia ke Turkiye meningkat 49.5% daripada RM4.01 bilion pada 2020.
Empat produk komoditi utama yang dieksport ke Turkiye adalah produk berasaskan minyak sawit (RM4.38 bilion), diikuti getah (RM1.29 bilion), koko (RM304.5 juta), dan kayu balak (RM8.43 juta).
Kementerian yakin lawatan rasmi YAB Perdana Menteri Malaysia ke Turkiye ini bakal memperkukuh komitmen kerjasama dua negara yang telah terjalin sejak tahun 1964 lagi dan seterusnya melonjakkan eksport komoditi negara.
--BERNAMA
#Zuraida Kamaruddin #ismail sabri yaakob #Turkiye #kelapa sawit