KPJ Healthcare tandatangan kerjasama strategik dengan Perkeso

Bernama
Januari 21, 2023 09:30 MYT
KPJ Healthcare memeterai Perjanjian Kerjasama Strategik dengan Perkeso bagi membantu memulihkan pesakit dari segi fizikal, vokasional dan psikologi. -Bernama
KUALA LUMPUR: KPJ Healthcare Bhd telah memeterai Perjanjian Kerjasama Strategik dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi anak syarikat milik penuhnya bagi membantu memulihkan pesakit dari segi fizikal, vokasional dan psikologi sebelum kembali menjalani kehidupan normal.
Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata kerjasama awam-swasta dua tahun itu akan membolehkan Perkeso menyediakan langkah pencegahan awal, perkhidmatan pemulihan yang komprehensif serta meningkatkan kebolehcapaian perkhidmatan pemulihan kepada lebih ramai individu berinsurans di bawah Perkeso, di Hospital Pakar KPJ terpilih di seluruh negara.
"Ini juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kebolehcapaian perkhidmatan pemulihan kepada lebih ramai individu berinsurans di bawah Perkeso dengan menempatkan pesakit-pesakit ini di fasiliti KPJ Healthcare, sekali gus membolehkan mereka menerima rawatan dan kembali bekerja secepat mungkin.
"Proses pemulihan juga boleh dipercepatkan dan dioptimumkan supaya pesakit boleh kembali bekerja dan menyara keluarga mereka.
"Ini selaras dengan matlamat Program Return-To-Work Perkeso yang menekankan kepada langkah pencegahan awal serta pemulihan intensif," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Antara perkhidmatan yang disediakan dalam kerjasama itu adalah rawatan pesakit dalam, penjagaan kejururawatan, fisioterapi, terapi pekerjaan serta pertuturan, dan lain-lain, bergantung kepada keperluan pesakit.
Pegawai Pimpinan KPJ Healthcare Norhaizam Mohammad pula dalam kenyataan sama berkata kerjasama itu penting dalam merapatkan jurang antara institusi awam dan swasta, pada masa yang sama memaksimumkan dengan efektif semua keupayaan penjagaan kesihatan dalam negara.
"Sejak Jun tahun lepas, kami telah pun menerima pesakit dari Perkeso di Hospital Pakar KPJ Sabah, dan baru-baru ini di Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2), dan kami berharap dapat menawarkan lebih banyak kemudahan KPJ Helathcare melalui perkongsian strategik ini," katanya.
Perjanjian Kerjasama itu ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif Pusat Rehabilitasi Perkeso Datuk Dr Hafez Hussain yang mewakili Mohammed Azman, dan Norhaizam Mohammad bagi pihak KPJ Healthcare, dengan disaksikan oleh Pemanku Ketua Pegawai Operasi KPJ Healthcare Mohamad Farid Salim dan Ketua Pegawai Perubatan Pusat Rehabilitasi Perkeso Dr Nur Liyana Kahar.
Program pesakit luar ini kini boleh didapati di Hospital Pakar KPJ Rawang, Hospital Pakar KPJ Perlis, Hospital Pakar KPJ Bandar Dato' Onn, Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Hospital Pakar KPJ Kuantan, Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang dan Hospital Pakar KPJ Sentosa.
-- BERNAMA
#KPJ Healthcare #perkeso #Mohammed Azman Aziz Mohammed #Program Return-To-Work Perkeso
;