KPJ Healthcare jual kepentingan dalam hospital Indonesia

Bernama
Julai 30, 2020 06:35 MYT
KPJM memiliki sebuah hospital pakar di ibu negara republik berkenaan yang dikenali sebagai RS Medika Permata Hijau.
KPJ Healthcare Bhd telah melupuskan kseluruhan 80 peratus kepentingan dalam operasi hospital pakar di Jakarta Barat, Indonesia pada harga 96 bilion rupiah (kira-kira RM28 juta) disebabkan oleh kesukaran subsidiarinya itu dalam mematuhi keperluan pelesenan dan pengawalseliaan yang dikenakan ke atas pengendali asing.
Kumpulan itu pada Rabu memeterai perjanjian untuk menjual kepentingan dalam PT Khidmat Perawatan Jasa Medika (KPJM) kepada Irfan Jasri, yang memiliki 20 peratus kepentingan dalam KPJM dan saham kepada Annie Trisusilo, pengarah perubatan daripada RS Medika Bumi Serpong Damai, sebuah lagi hospital KPJ di Indonesia.
KPJM memiliki sebuah hospital pakar di ibu negara republik berkenaan yang dikenali sebagai RS Medika Permata Hijau.
"Cadangan pelupusan itu adalah sebahagian daripada langkah penyusunan semula yang lebih meluas yang sedang diterokai bagi membolehkan KPJ mematuhi sepenuhnya keperluan pelesenan serta peraturan pihak berkuasa Indonesia.
"KPJ akan membuat pengumuman yang diperlukan sebaik sahaja proses penyusunan semula yang melibatkan operasi hospitalnya di Indonesia dimuktamadkan," kata KPJ dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia semalam.
KPJ dalam Laporan Tahunan 2019 menyatakan dua buah hospital miliknya di Jakarta mencatatkan pertumbuhan dua digit pada tahun lepas berikutan peningkatan bilangan pesakit.
Pendapatan RS Medika Permata Hijau menokok 23 peratus kepada RM27.2 juta pada 2019, menurut laporan tersebut.
-- BERNAMA
#Hospital #Indonesia #Jakarta #kepentingan #KPJ #laporan tahunan #saham
;