KPJ ambil alih kepentingan hospital Thailand
Bernama
November 29, 2012 18:25 MYT
November 29, 2012 18:25 MYT
KPJ Healthcare Bhd, cabang kepada Johor Corporation (JCorp) Group, meneruskan lagi peluasannya secara agresif dalam pasaran penjagaan kesihatan serantau dengan mengambil alih kepentingan besar dalam sebuah hospital Thailand.
Pengerusinya, Kamaruzzaman Abu Kassim berkata KPJ telah mengeluarkan sejumlah RM63 juta untuk membeli 23 peratus kepentingan Vejthani Hospital, di Bangkok, iaitu penyedia penjagaan kesihatan persendirian pelbagai khusus.
Hospital yang mempunyai 500 katil itu terkenal kerana kepakarannya dalam rawatan ortopedik.
"Pengambilalihan kepentingan dalam hospital di Thailand itu akan mengembangkan lagi langkauan KPJ dalam lingkungan pasaran penjagaan kesihatan Asean. Sumbangan keuntungan daripada Vejthani Hospital dijangka mampu meningkatkan pendapatan KPJ Group di masa akan datang," kata Kamaruzzaman, yang juga merupakan Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp selepas menghadiri mesyuarat agung luar biasa KPJ.
Beliau berkata pengambilalihan kepentingan itu akan dipenuhi menerusi dana dalaman tetapi transaksi itu dijangka meningkatkan gearan syarikat sebanyak enam peratus menjelang suku kedua tahun hadapan.