KPDNKK lulus RM5.4 juta untuk majukan koperasi
Bernama
Februari 2, 2013 17:41 MYT
Februari 2, 2013 17:41 MYT
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan meluluskan RM5.4 juta bagi membantu memajukan koperasi di daerah Besut tahun ini.
Pengerusi Majlis Perundingan Koperasi Besut Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berkata peruntukan itu diluluskan bagi membiayai Tabung Modal Pusingan untuk tiga koperasi dan Bantuan Pembangunan untuk tiga lagi koperasi.
Tiga koperasi yang menerima Tabung Modal Pusingan ialah Koperasi Guru-Guru Melayu Besut Berhad (RM5 juta), Koperasi Felda Selasih Besut Berhad (RM204,300) dan Koperasi Bersatu Jaya Pulau Perhentian Besut Berhad (RM103,500).
Peruntukan bagi Bantuan Pembangunan pula ialah untuk Koperasi Guru-Guru Melayu Besut Berhad (RM50,000), Koperasi Kemahiran Muda (Kemuda) Besut Berhad (RM43,026) dan Koperasi Sekolah Menengah Agama Maarif Besut Berhad (RM20,000).
Sementara itu, berucap melancarkan Majlis Perundingan Koperasi dan Mini Karnival Koperasi Parlimen Besut di sini, Abdullah yang juga Anggota Parlimen Besut meminta umat Islam agar tidak terkeliru dan terpengaruh dengan isu-isu agama yang banyak ditimbulkan pelbagai pihak menjelang pilihan raya umum ke-13.