Kos taman tema, naik taraf kawasan monorel Melaka RM109 juta
Bernama
Disember 5, 2017 06:49 MYT
Disember 5, 2017 06:49 MYT
Kos keseluruhan projek pembinaan taman tema dan naik taraf kawasan laluan Monorel Melaka di sini yang bermula Januari depan, dijangka mencecah RM109 juta dalam usaha menjadikannya produk pelancongan bagi menarik lebih ramai pengunjung.
Ketua Pegawai Eksekutif Monorail Theme Park and Studios Sdn Bhd, Lim Boon Peng berkata projek secara berperingkat dalam tempoh tiga hingga empat tahun itu disasarkan menarik sekurang-kurangnya dua juta pengunjung setahun.
Ini termasuk mewujudkan taman tema berkonsep 'indoor' atau tertutup serta luaran dengan 13 tarikan antaranya dua terowong (dengan kesan paparan imej) 4 dimensi atau 4D dan 5D serta pertunjukkan cahaya 3D.
"Kita merancang membina studio 'trick art' dan hologram di Taman Rempah (kawasan stesen monorel) yang berkaitan dengan sejarah Melaka seperti Ketua Menteri dan Tuan Yang Dipertua Negeri Melaka.
"Bagi studio hologram kita gunakan kesan 6D dan 7D. Taman tema tersebut bagaimanapun hanya dikhaskan untuk pengguna monorel," katanya kepada Bernama.
Kemudahan monorel yang menghubungkan Taman Rempah ke Stesen Hang Tuah di Jalan Bunga Raya, beroperasi semula semalam setelah perkhidmatannya digantung pada 2013 akibat masalah teknikal.
Mengulas selanjutnya, Lim berkata pihaknya akan turut membina satu terowong hutan dihiasi kayu bakau dan replika haiwan serta paparan cahaya lampu menarik apabila gerabak melintasi ruang berkenaan.
"Bangunan lama di sepanjang laluan itu akan turut dihiasi pertunjukkan cahaya agar pengunjung dapat bergambar kenangan pada waktu malam seperti di Kampung Morten," katanya.
Mengulas perkhidmatan sedia ada, beliau meminta pengunjung bersabar kerana hanya satu gerabak yang beroperasi ketika ini berikutan usaha menaik taraf secara keseluruhan yang dijalankan dan dijangka dapat beroperasi selewat-lewatnya Februari depan.
"Kita memberi jaminan bahawa gerabak telah ditambah baik dengan ciri-ciri keselamatan seperti alat pencegahan kilat serta tambahan satu kenderaan penyelamat untuk menarik gerabak jika berlaku masalah teknikal. Saya yakin inisiden sebelum ini tidak akan berulang memandangkan ujian yang dilakukan selama dua bulan," katanya.
Lim berkata pihaknya juga merancang reka bentuk gerabak buatan anak jati Melaka yang boleh memuatkan sehingga 40 penumpang dalam satu-satu masa.
"Ketika ini perkhidmatan monorel kendalian Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah hanya boleh menampung seramai 24 penumpang dengan laluan sehala dan mengambil masa kira-kira 30 minit bagi jarak perjalanan tiga kilometer.
"Pasukan kejuruteraan kita sedang melakukan kajian dan reka bentuk gerabak yang boleh memuatkan lebih ramai penumpang," katanya.
Sebagai promosi bulan pertamanya, perkhidmatan monorel beroperasi 10 pagi hingga 10 malam setiap hari dan dilanjutkan sehingga 12 tengah malam pada Jumaat dan Sabtu, menawarkan harga tiket RM10 untuk semua peringkat umur.
Tiket itu dijual di kaunter aras satu Bangunan Monorel, Stesen Tun Ali. -- Bernama