Kos pengeluaran syarikat F&B dijangka terus meningkat kesan ketidakstabilan harga komoditi global
Dagang News
Mac 8, 2024 14:15 MYT
Mac 8, 2024 14:15 MYT
KUALA LUMPUR: Ketidakstabilan harga komoditi global seperti gula, koko dan biji kopi dijangka terus meningkatkan kos pengeluaran syarikat yang terlibat dengan industri makanan dan minuman (F&B).
MIDF Research berkata, keadaan itu disebabkan kekurangan bekalan yang berterusan sehingga tahun ini disebabkan cuaca buruk di negara pengeluar utama.
Katanya, kemungkinan cukai perkhidmatan yang lebih tinggi serta jangkaan rasionalisasi bahan api di Malaysia akan mempengaruhi kos logistik komoditi pertanian dari pelabuhan ke kilang.
"Kami menjangkakan Nestle Malaysia (neutral, harga sasaran (TP): RM127.00), Fraser & Neave (beli, TP:RM33.50), Hup Seng Industries (beli, TP: 99 sen) dan Spritzer (beli, TP: RM2.08) terkesan dengan keadaan itu disebabkan impak besar kos bahan mentah kepada perbelanjaan pengeluaraannya.
"Keadaan itu berkemungkinan dipengaruhi kos penghantaran bahan mentah ke kilang pengeluaran mereka.
"Bagaimanapun, kami menjangkakan harga resin polyethylene terephthalate (PET) kekal rendah pada tahun ini berbanding dua tahun lalu sejajar dengan jangkaan bahawa harga minyak mentah Brent kekal pada purata AS$84 setong pada 2024 serta kebimbangan mengenai permintaan yang lebih lemah dari China," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, purata harga komoditi global niaga hadapan tiga bulan untuk bahan mentah utama bagi pengeluaran F&B, seperti gula mentah, gula putih, koko, biji kopi dan resin PET, semuanya kekal tinggi pada Februari 2024.
Katanya, ia disebabkan oleh bekalan global yang ketat yang disebabkan oleh cuaca melampau yang mengurangkan pengeluaran.
"Sementara itu, harga resin PET bertukar lebih tinggi disebabkan kenaikan minyak mentah Brent berikutan krisis Laut Merah dan pemotongan OPEC+ yang menyokong harga minyak," katanya.
MIDF Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor pengguna. - Dagang News