Koridor ekonomi jambatan penting pupuk aktiviti ekonomi - Hanifah Hajar
Bernama
November 16, 2023 12:11 MYT
November 16, 2023 12:11 MYT
SERI ISKANDAR: Kawasan koridor ekonomi seperti Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menjadi jambatan penting dalam menghubungkan bandar dan luar bandar, memupuk aktiviti ekonomi selain memudahkan lagi pembangunan luar bandar dan sumber yang saksama di setiap wilayah berkenaan.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata sebagai agensi pelaksana pembangunan NCER, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah melaksanakan infrastruktur strategik dan pembangunan modal insan bagi menarik pelaburan berkualiti yang memberi kesan besar ke atas pertumbuhan NCER.
Ini termasuk secara asasnya menumpukan objektif Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), kata beliau.
"Sebagai contoh, projek pembangunan semula Pusat Pelancongan EkoRimba Lata Kinjang, Perak telah berjaya menaikkan sosioekonomi masyarakat Orang Asli di kampung-kampung berdekatan menerusi tawaran peluang pekerjaan dan perniagaan.
"Model pembangunan Lata Kinjang yang terbukti berjaya ini akan dikembangkan bagi projek-projek lain seperti pembangunan komuniti di kawasan kurang membangun dan projek pembangunan kawasan sempadan di NCER," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia 2023: Wilayah Utara di sini, hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, Hanifah Hajar berkata Kementerian Ekonomi turut menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengintegrasikan SDG ke dalam dasar pembangunan nasional.
Selain itu, Pusat SDG Negara yang ditubuhkan di bawah kementerian itu baru-baru ini, telah diberi tanggungjawab untuk meningkatkan tindakan penyelarasan SDG di peringkat nasional, katanya.
"Ini termasuk menambah baik pencapaian SDG negara dan meningkatkan kesedaran dalam pelaksanaannya, di samping mengadaptasi prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)," katanya.
Beliau turut menyifatkan perancangan itu sebagai amat penting dalam menentukan hala tuju Malaysia ke arah mencapai matlamat SDG secara lebih berkesan dan cekap.
"Perjalanan memperluas kesedaran SDG ke seluruh negara memerlukan kita untuk turut bersedia menghadapi pelbagai cabaran yang muncul. Kita memerlukan pendekatan berbeza dalam menyetempatkan SDG di peringkat akar umbi," katanya.
Dalam pada itu, acara sehari Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia 2023: Wilayah Utara itu dianjurkan bersama oleh NCIA dan Kementerian Ekonomi.
Selain menyokong usaha kerajaan Persekutuan dalam menggalakkan pelaksanaan dan pencapaian SDG di peringkat negeri serta tempatan, acara itu juga bertujuan meningkatkan lagi kesedaran dan pemahaman mengenainya dalam kalangan rakyat.
Pada masa sama, program itu menekankan kepentingan koridor ekonomi dan integrasinya dalam Rangka Kerja SDG Kebangsaan serta kepentingan penjajaran antara matlamat SDG dengan rancangan, program dan projek peringkat tempatan selain pelaksanaan serantau dalam mencapai Agenda Mampan 2030.
-- BERNAMA