Korea Selatan mahu Malaysia bantu bangunkan industri halal
Astro Awani
Mac 14, 2019 16:00 MYT
Mac 14, 2019 16:00 MYT
Korea Selatan berhasrat menjadikan Dasar Pandang ke Timur yang dilaksanakan oleh Malaysia mampu menyokong Dasar Selatan Baharu oleh Korea.
Antara bidang di bawah dasar tersebut yang dilihat mampu memacu penambahbaikan hubungan dua hala adalah sektor halal.
Menurut Presiden Korea Moon Jae-in, industri halal serta sijil halal Malaysia yang diiktiraf di peringkat global menjadi faktor mengapa Malaysia dipilih untuk kerjasama itu.
“Sijil halal Malaysia diiktiraf di peringkat global dan melalui kerjasama ini, ia akan mencapai pasaran lebih luas di samping permintaan produk halal yang semakin meningkat,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Perniagaan Malaysia Korea Selatan di ibu negara.
Tambahnya, kerjasama dua negara akan menyusun pelan strategik untuk meningkatkan dagangan halal dan pertukaran pelaburan dalam sektor berkenaan.
“Manfaat nyata dapat dijana dari kerjasama ini terutama di bawah industri halal dan pelaburan langsung asing serta teknologi,” katanya lagi.
Antara kerjasama lain yang dilihat Korea Selatan termasuk dalam bidang Teknologi Maklumat di mana pusat realiti maya akan dibangunkan oleh Korea Selatan di projek Bandar Pintar Kota Kinabalu, Sabah.
Pusat itu dijangka melonjakan adaptasi teknologi oleh Korea Selatan dan Malaysia.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata, setakat September 2018, sejumlah 371 projek pembuatan dengan penyertaan Korea Selatan melibatkan nilai RM31.84 bilion, sudah dilaksanakan.
“Kesemua projek ini menyediakan lebih 52,000 peluang pekerjaan bagi Malaysia,” katanya.
Moon yakin kerjasama utuh dua hala akan terus di peringkat seperti dibuktikan sejak hubungan diplomatik dua hala diwujudkan 60 tahun dahulu.
Sementara itu, bagi syarikat petro kimia Lotte Chemical Titan, dasar dua negara yang menyokong akan membolehkan usaha pelaburan dijalankan dengan lebih lancar.
“Kami sudah membawa masuk kepakaran teknikal dan penambahbaikan kepada kemudahan Lotte Chemical Titan di Pasir Gudang Malaysia.
“Ini merupakan inisiatif yang membuktikan kejayaan Dasar Pandang ke Timur oleh Malaysia,” kata Presidennya, Doogwoo Lee.
#FDI Korea Selatan
#Halal
#JAKIM
#Korea mahu Malaysia bantu bangun industri halal
#Korea Selatan
#Moon Jae-in
#Sijil Halal Jakim