Koperasi Kredit perlu bergabung - Hamzah

Anthea Yap
Januari 23, 2017 07:11 MYT
Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menggesa koperasi kredit kecil atau sederhana bergabung.
Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menggesa koperasi kredit kecil atau sederhana di seluruh negara bergabung.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, gabungan itu akan memantapkan lagi asset, pinjaman dan meningkatkan pasaran.
Beliau menjangkakan bilangan koperasi kredit yang kini sebanyak 596 akan dapat dikurangkan kepada 200 koperasi.
“Gabungan mereka itu mengikut kaedah yang mereka mampu lakukan.
“Kita tidak mahu menguatkuasa yang akan dibuat oleh kerajaan tetapi saya mahu mereka secara sukarela sama bergabung.
“Ia akan mengukuhkan lagi kedudukan koperasi itu lebih besar dengan adanya asset yang mampan dan membolehkan mereka melakukan pasaran yang lebih besar”, katanya selepas Majlis Perasmian Pelan Pembangunan Sektor Perkhidmatan Kewangan Koperasi 2016-2020 di sini.
Pada tahun 2015, unjuran pendapatan koperasi kredit bernilai RM80 bilion dimana 70 peratus tertumpu kepada koperasi kredit besar seperti Bank Rakyat dan Co-Opbank Persatuan Malaysia Berhad (CBP).
Hamzah juga berkata kementeriannya kini tidak akan meluluskan penubuhan koperasi kredit baharu di negara ini.
Sementara itu, beliau berkata pindaan Akta Koperasi 1993 akan dibentangkan di Parlimen pada Jun ini bagi menambahbaik sektor koperasi negara.
“Pindaan akta berkenaan akan diperketatkan daripada segi kelemahan yang ada sebelum ini.
“Semua langkah ini dilihat mampu dijadikan kekuatan dan mengukuhkan sektor koperasi”, katanya.
KPDNKK telah berkerjasama dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dalam menyelarsakan kajian akta terbabit.
#CBP #Datuk Seri Hamzah Zainuddin #KPDNKK #Parlimen
;