Koordinasi rentas negara diperlukan dalam membangunkan dasar berkaitan AI - WEF

Irfan Faruqi
Januari 17, 2024 12:09 MYT
Li berkata koordinasi pelbagai negara perlu digerakkan dalam membangunkan dasar berkaitan kecerdasan buatan (AI). - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Koordinasi multilateral antara pelbagai negara perlu digerakkan dalam membangunkan dasar berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Ketua Kecerdasan Buatan (AI), Data & Metaverse, Pusat Revolusi Industri Keempat, Forum Ekonomi Dunia (WEF), Cathy Li berkata tidak wajar bagi satu teknologi AI hanya dikawal selia di satu negara, dan tiada kawalan untuk penggunaan di negara berlainan.
“Satu perkara asas yang perlu diberi penekanan ialah keperluan untuk mewujudkan koordinasi antara pelbagai negara (dalam urus tadbir AI).
“Memandangkan AI membangun di serata dunia, maka tidak wajar ia hanya dikawal selia oleh satu negara sahaja, kemudian benarkan AI tersebut tidak dikawal selia di negara-negara lain. Sekiranya ini berlaku pasti akan ada gelombang kesan buruk akan berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Koordinasi rentas negara diperlukan dalam membangunkan dasar berkaitan AI - WEF
Jelasnya, secara umum terdapat dua pendekatan berbeza dalam pentadbiran AI di dunia iaitu pendekatan dasar secara mendatar dan menegak. Perbezaan ini bergantung kepada konteks budaya, norma sosial dan rangka polisi yang tersendiri mengikut negara masing-masing.
“Sesetengah negara mengadaptasi pendekatan mendatar, dengan mengendalikan kecerdasan buatan (AI) sebagai satu teknologi baharu. Oleh itu, negara berkenaan akan menilai semua manfaat dan risiko yang ada bertindak sewajarnya.
“Pada masa sama ada, ada negara yang mengambil pendekatan menegak, dengan menganggap teknologi AI sebagai sama dengan teknologi-teknologi yang lain.
“Oleh itu, negara terbabit sekadar memastikan setiap kementerian dan agensi; kawalan kandungan atau keselamatan siber, faham mengenai AI,” katanya lagi.
Li berkata bagi negara yang menggunakan pendekatan menegak, AI diurus berdasarkan kepakaran setiap agensi dan Kementerian masing-masing. AI dimasukkan sebagai elemen tambahan kepada rangka kerja sedia-ada.
Menurut Forum Ekonomi Dunia (WEF), jurang ketidaksamaan siber yang ketara dan kemunculan teknologi pesat membangun seperti kecerdasan buatan (AI), merupakan risiko utama keselamatan siber pada tahun hadapan.
Laporan Global Cybersecurity Outlook 2024 yang diterbitkan oleh WEF pada 11 Januari, menggesa kerjasama bersepadu merentas sempadan dan industri bagi memerangi ancaman yang saling berkaitan serta membina persekitaran yang berdaya tahan, memandangkan landskap ancaman siber yang semakin kompleks.
Agenda AWANI: Tadbir urus AI, bila lagi?
#Agenda Awani #keselamatan siber #AI #WEF2024
;