Koop Sahabat umum dividen 10 peratus

Astro Awani
Jun 18, 2023 14:30 MYT
Mohd Najib (dua dari kiri) menunjukkan plakad ketika mengumumkan agihan dividen 10 peratus bagi tahun 2022 semasa Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan kali ke-10 di Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini - Foto/ Ihsan Koop Sahabat
KUALA LUMPUR: Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) mengumumkan pulangan dividen bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 sebanyak 10 peratus atau RM6.5 juta kepada 452,728 anggotanya berbanding 5.8 Juta pada 2021.
Pengerusinya, Mohd Najib Mohd Noor berkata, Koop Sahabat turut mencatatkan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM12.6 juta, melonjak 25 peratus berbanding RM10.1 juta pada 2021.
"Prestasi tersebut merupakan komitmen Koop Sahabat dalam menjaga kebajikan anggotanya yang merupakan usahawan wanita dalam kalangan B40, disamping dapat memberi keyakinan yang kukuh kepada bakal anggota daripada kalangan Sahabat Usahawan AIM," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Najib menambah pihaknya percaya perniagaan Koop Sahabat yang kini meliputi perkhidmatan kewangan seperti Ar Rahnu, pembangunan hartanah, pelaburan korporat, pelaburan strategik serta pelaburan di dalam ekuiti awam akan terus berkembang dengan sokongan daripada anggotanya.
Sementara itu, beliau berkata Koop Sahabat melancarkan produk i-Gold Personal Account (i-GPA) iaitu produk emas digital patuh syariah dengan kerjasama KAB Goldynamic Sdn. Bhd.
Jelas Mohd Najib, i-GPA memberi peluang kepada semua anggota masyarakat untuk memiliki simpanan emas digital sendiri dan boleh ditukar kepada emas fizikal apabila simpanan telah mencukupi.
Tahun lalu, Koop Sahabat mengumumkan pulangan dividen sebanyak 10 peratus bersamaan RM5.8 juta kepada 243,163 anggotanya bagi tahun 2021 berbanding RM3.9 juta pada 2020.
Ia merupakan kadar dividen tertinggi pernah dicatatkan Koop Sahabat sejak penubuhannya pada Ogos 2012.
#Koop Sahabat #Dividen Koop Sahabat #Mohd Najib Mohd Noor #berita Malaysia
;