Koop Sahabat umum 10 peratus dividen kepada lebih 200,000 anggota
Astro Awani
Jun 20, 2022 12:40 MYT
Jun 20, 2022 12:40 MYT
KUALA LUMPUR : Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) mengumumkan pulangan dividen sebanyak 10 peratus.
Ia bersamaan RM5.8 juta kepada 243,163 anggota koperasi bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding RM 3.9 juta bagi tahun kewangan 2020.
Pengumuman kadar dividen 2021 ini adalah kadar tertinggi pernah dicatatkan oleh Koop Sahabat sejak penubuhannya pada Ogos 2012.
Menurut Pengerusi Koop Sahabat, Mohd Najib Mohd Noor, pembayaran dividen itu adalah hasil dari keuntungan bersih semasa yang dicatat oleh Koop Sahabat tidak termasuk pemotongan zakat sebanyak 2.5 peratus.
Jelasnya, biarpun turut terkesan dengan ketidaktentuan ekonomi dan berdepan dengan persekitaran mencabar akibat pandemik COVID-19, Koop Sahabat masih berupaya mengekalkan prestasi kadar dividen yang konsisten.
“Koop Sahabat mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan peningkatan signifikan perolehan pada 2021 berjumlah RM63.2 juta berbanding RM28.5 juta pada tahun sebelumnya.
“Ini adalah hasil daripada peningkatan perniagaan melalui aktiviti peruncitan dalam pembekalan stok ayam dan daging beku sebanyak RM13.46 juta.
“Manakala melalui aktiviti Perkhidmatan Kewangan adalah sebanyak RM12.7 juta hasil pembukaan enam cawangan baharu Sahabat Ar Rahnu di Setiu, Bertam, Pendang, Wangsa Melawati, Batu Pahat dan Kluang serta aktiviti Hartanah menyumbang sebanyak RM26.9 juta,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambahnya, perkara ini memberi kesan secara langsung kepada catatan keuntungan Koop Sahabat yang meningkat pada kadar 143 peratus berjumlah RM 9.17 juta berbanding RM 3.77 juta pada 2020.
Usaha ini merupakan komitmen Koop Sahabat dalam menjaga kebajikan anggotanya yang merupakan usahawan wanita dalam kalangan B40 disamping dapat member keyakinan yang kukuh kepada bakal anggota daripada kalangan Sahabat Usahawan AIM.
“Koop Sahabat berjaya mencapai dua daripada empat sasaran ditetapkan menerusi Pelan Strategik 2020 - 2024, untuk mendapatkan kedudukan dalam sepuluh Koperasi terbaik Malaysia dan mengagihkan dividen pada kadar 10 peratus kepada anggota tercapai.
“Bersempena ulang tahun Koop Sahabat yang ke-10 pada Ogos ini, anggota lembaga koperasi dan pengurusan berpendirian untuk menumpukan pada pencapaian agihan dividen bahkan melihat dari konteks lebih luas termasuk tadbir urus baik.
“Turut diberi penekanan adalah mengamalkan integriti tinggi bagi pencapaian yang cemerlang dan kompetatif serta melahirkan warga kerja yang berkualiti tinggi dan produktif,” katanya.
Koop Sahabat turut optimis untuk mengekalkan prestasinya sebagai koperasi terbaik negara tiga tahun berturut-turut diiktiraf oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada kelompok 10 Koperasi terbaïk di negara ini.
#Suruhanjaya Koperasi Malaysia
#Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad
#Koop Sahabat
#tahun kewangan