Kontraktor kelas F 'dipinggirkan' - PERKOBF

Tan Su Lin
Januari 11, 2016 16:44 MYT
Tukiman meminta kerajaan memperbanyakkan projek bagi memenuhi keperluan lebih 20 ribu kontraktor kelas f di seluruh negara.
Pengagihan kontrak projek yang lebih memihak kepada syarikat konsesi punca semakin ramai kontraktor kelas 'F' di negara ini hilang punca pendapatan.
Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF), Tukiman Radion berkata, sejak 2008, lebih 10,000 kontraktor kelas F yang terpaksa gulung tikar akibat sukar mendapat projek.
"Dulu kita mempunyai kira-kira 35,000 kontraktor kelas F tetapi sekarang hanya tinggal 20,000 orang kerana kurang mendapat projek. Apabila tiada projek, mereka tidak dapat memperbaharui lesen. Kadang-kadang ada kontraktor yang tidak mendapat projek sehingga 3 tahun. Begitu susahnya," katanya dalam satu temubual bersama Astro AWANI.
Tukiman mempersoalkan pengagihan projek yang didakwa dimonopoli syarikat konsesi tertentu sekaligus mendatangkan kerugian kepada kontraktor kelas F yang rata-ratanya terdiri daripada golongan bumiputera.
"Sebelum ada konsesi, ada banyak projek untuk kelas F tetapi pembangunan dah banyak, infrastruktur kerajaan dah banyak tetapi projek kontraktor kelas F berkurangan sebab banyak diberi kepada syarikat konsesi."
"Syarikat konsesi dimiliki satu atau dua orang sedangkan kalau satu projek bernilai RM200,000 contohnya diagihkan kepada kontraktor kelas F, mungkin 1,000 orang dapat projek itu." katanya.
Beliau berkata, cara pengagihan projek perlu dilakukan secara undian, terbuka dan manual agar lebih telus.
"Saya tahu ada projek diundi secara sembunyi-sembunyi sebab ada ahli yang mengadu kepada kami. Kita tidak mahu undian dibuat secara sembunyi-sembunyi atau melalui sebut harga kerana telah banyak berlaku penyelewengan dan tidak telus. Sebab itu kita minta buat undian secara terbuka dan manual. Ada yang buat secara komputer tetapi ia juga tidak begitu telus kerana boleh dimanipulasi," katanya.
Dalam pada itu, Tukiman meminta kerajaan memperbanyakkan projek bagi memenuhi keperluan lebih 20 ribu kontraktor kelas F di seluruh negara.
"Masalah dalam projek memang ada di mana-mana sekalipun pasti ada masalah jadi ini dianggap asam garam dalam bidang pembinaan. Jadi kita tidak boleh ambil jalan mudah untuk hanya serahkan kepada satu pihak atau syarikat konsesi sedangkan lebih ramai orang yang mengharapkan projek tersebut," katanya.
#Kelas F #PERKOBF #Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia
;