Konsortium diterajui Khazanah, KWSP umum tawaran bersyarat bagi MAHB
Astro Awani
Mei 15, 2024 18:20 MYT
Mei 15, 2024 18:20 MYT
KUALA LUMPUR: Gateway Development Alliance dan para pemegang sahamnya mengumumkan tawaran sukarela prasyarat bagi mengambil alih semua saham dalam Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang belum dimiliki konsortium itu.
Menerusi satu kenyataan bersama oleh pemegang saham Gateway Development Alliance pada Rabu, harga tawaran sebanyak RM11.00 bagi setiap saham.
Sehingga 14 Mei 2024, konsortium dan syarikat induk masing-masing, secara agregat memiliki 41.1 peratus saham MAHB yang diterbitkan.
‘’Konsortium ini diterajui oleh dua Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan Malaysia iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) menerusi anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Berhad (UEMG), dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
‘’Pemegang saham konsortium ini juga dianggotai anak syarikat milik penuh Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan dana yang diuruskan oleh Global Infrastructure Partners (GIP), salah satu pelabur infrastruktur terkemuka sedunia dengan pengalaman memiliki serta menguruskan lapangan terbang,’’ katanya.
Kenyataan itu antara lain menyebut, apabila tawaran ini selesai sepenuhnya, Khazanah akan meningkatkan pemilikannya dalam MAHB daripada 33.2 peratus kepada 40 peratus, manakala KWSP daripada 7.9 peratus kepada 30 peratus dan secara kolektif, pelabur Malaysia akan memiliki 70 peratus saham MAHB.
‘’ADIA dan GIP akan memiliki baki 30 peratus saham dan Kerajaan Malaysia akan mengekalkan pemilikan saham khasnya dalam MAHB dan Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif akan terus dilantik dalam kalangan warga Malaysia.
‘’Konsortium berhasrat menetapkan MAHB di landasan pertumbuhan jangka masa panjang yang mampan dengan memfokuskan kepada penyelenggaraan dan menaik taraf infrastuktur lapangan terbang, meningkatkan tahap perkhidmatan penumpang dan menambah baik keterhubungan syarikat penerbangan, ia akan menyokong pertumbuhan penumpang dan kargo udara,’’ tambahnya lagi.
Ini ujarnya, secara langsung akan memberikan manfaat ekonomi yang mampan bukan sahaja buat MAHB dan pihak berkepentingannya, tetapi juga bagi sektor-sektor perindustrian dan pelancongan di Malaysia dan Turki.
Selain itu, kenyataan itu menyebut, konsortium percaya bahawa cara terbaik mencapai objektif ini adalah dengan menyahsenaraikan MAHB bagi menggalakkan pendekatan jangka masa panjang dalam sebarang keputusan serta pelaburan modal yang dibuat, di samping menerima manfaat daripada kepakaran teknikal antarabangsa.
"Konsortium optimis dengan potensi yang dimiliki MAHB dan komited untuk menjayakan lapan fokus termasuk menyokong MAHB dalam pelaksaan projek-projek modal keutamaan tinggi, termasuklah Aerotrain dan Sistem Pengurusan Bagasi di KLIA,.
"Pada masa sama, meningkatkan pengalaman penumpang dengan menangani kesesakan, menambah baik aliran penumpang dan suasana persekitaran terminal, serta meluaskan tawaran kedai makanan, minuman dan peruncitan di lapangan terbang MAHB, selain bekerjasama rapat menyokong syarikat penerbangan sedia ada dan mengukuhkan sumber pengurusan bagi menarik lebih banyak syarikat penerbangan baharu, terutamanya dalam segmen penerbangan jarak jauh," katanya.