Kongres Ekonomi Bumiputera di Putrajaya pada 29 Februari hingga 2 Mac ini

Bernama
Januari 5, 2024 05:00 MYT
Ahmad Zahid berkata, Kongres yang dianjurkan atas arahan Anwar Ibrahim dan Kabinet itu akan memberi tumpuan kepada 10 kluster utama. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) akan diadakan pada 29 Feb hingga 2 Mac ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, sebagai usaha menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda Bumiputera, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, Kongres yang dianjurkan atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kabinet itu akan memberi tumpuan kepada 10 kluster utama, antaranya reformasi pendidikan dan mosal insan, pengukuhan industri halal, ekonomi Bumiputera Sabah dan Sarawak dan penguasaan teknologi baharu.
"Ia melibatkan semua golongan profesional, ahli akademik dan pemain dalam industri yang terlibat dalam setiap kluster diwujudkan. Kita akan lihat komitmen kerajaan MADANI dalam melaksanakan agenda Bumiputera menerusi KEB," kata beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Bercakap dalam sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Ahmad Zahid berkata, KKDW dan Kementerian Ekonomi telah melantik pengerusi bagi setiap kluster untuk menjayakan KEB kali ini.
Beliau berkata, pada Kongres itu Perdana Menteri akan menerima satu resolusi KEB dan Anwar juga dijangka berkongsi usaha-usaha baharu dalam memperkasa Bumiputera, mencakupi perkara berkaitan teknologi baharu serta pelan futuristik untuk generasi akan datang.
"Perancangan KEB tentunya bukan hanya untuk mewujudkan resolusi tetapi tinggal di atas kertas sahaja, sebaliknya sektetariat tetap telah tampilkan dua kementerian untuk pantau pelaksanaan resolusi bagi tiap kluster yang dibentuk," katanya.
Ahmad Zahid berkata, KEB terdahulu telah menunjukkan keberkesanan, antaranya dengan penubuhan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang dilihat memainkan peranan besar dalam membantu ekonomi Bumiputera. - BERNAMA
#Bumiputera #KEB #KKDW #pelan futuristik
;