Komuniti Pelabur dilancar, mudahkan akses dana kepada PKS berpotensi

Astro Awani
September 13, 2022 13:21 MYT
Tan Sri Mohd Daud Bakar berkata, Komuniti Pelabur dibangunkan untuk memastikan impian golongan usahawan mengembangkan perniagaan mereka tercapai - Foto: Laughing Tree Sdn Bhd
KUALA LUMPUR: Platfom sokongan, jaringan perniagaan serta peluang meraih dana kepada Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) tempatan, Laughing Tree Sdn Bhd pada Isnin melancarkan Komuniti Pelabur.
Inisiatif tersebut menggabungkan 15 agensi pelaburan awam dan swasta dengan fokus untuk memudahkan akses dana kepada perniagaan PKS yang berpotensi tinggi, sesuai dengan tahap persediaan syarikat masing-masing.
Menurut Pengerusinya, Tan Sri Mohd Daud Bakar, Komuniti Pelabur dibangunkan untuk memastikan impian golongan usahawan mengembangkan perniagaan mereka tercapai dan secara tidak langsung meningkatkan tahap kemakmuran rakyat dan negara secara keseluruhan.
"Sebanyak 15 agensi pelaburan dari sektor kerajaan, pelabur modal teroka, platform pengumpulan ekuiti awam (ECF), pembiayaan rakan setara (P2P) termasuk platform tukaran digital yang mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti dan pihak berwajib sudah menyatakan komitmen menyertai Komuniti Pelabur ini.
“Kami mempunyai satu naratif, resipi dan gelombang pemikiran yang sama dengan golongan usahawan. Jadi kami berupaya meletakkan diri kami dalam situasi para usahawan,” katanya pada majlis perasmian Komuniti Usahawan di ibu negara, pada Isnin.
Sementara itu, Pengarah Eksekutifnya, Shamsul Qamar Abd Rani berkata, pihaknya menawarkan jumlah dana sehingga RM200 juta menerusi kerjasama dengan beberapa rakan strategik, di mana tawaran berkenaan dibuka kepada peserta Project Tree Masterclass.
"Setakat ini kami mendapat maklum balas yang cukup baik daripada rakan-rakan strategik dan PKS Bumiputera.
"Kami berharap program ini akan mengubah ekosistem dana dalam kalangan PKS menjadi lebih kondusif," ujar beliau.
Project Tree Masterclass yang berlangsung pada 12 dan 13 September merupakan satu program yang memberi fokus kepada usaha meningkatkan daya saing usahawan PKS, terutamanya dalam kalangan bumiputera menerusi kaedah baharu perolehan dana dan modal.
Antara speker yang terlibat dalam Project Tree Masterclass ialah Pengarah Urusan DNeX Berhad, Tan Sri Syed Zainal; Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Datuk Md Silmi Abd Rahman; serta Pengarah Urusan, SSAA Media Network Suhaimi Sulaiman.
#Komuniti Pelabur #Dana kepada PKS #Bantuan PKS #ekonomi malaysia
;