Kompleks Aroma Bersepadu bakal jadikan Gebeng pusat utama pengeluaran petrokimia
Bernama
April 10, 2014 19:53 MYT
April 10, 2014 19:53 MYT
Kompleks Bahan Aroma Bersepadu BASF Petronas Chemicals, dengan nilai pelaburan RM1.5 bilion, bakal menjadikan Kawasan Perindustrian Gebeng dekat sini, sebagai pusat utama pengeluaran bahan petrokimia bernilai tinggi di Asia Pasifik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, apabila pembinaan kompleks bersepadu itu siap pada 2016, ia dijangka mampu menarik lebih banyak pelabur, termasuk dalam industri sokongan, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan ekonomi.
"Kompleks yang dijangka siap pada 2016 itu akan mewujudkan 120 peluang pekerjaan yang memerlukan kepakaran teknikal dalam kalangan pekerja tempatan.
"Mereka yang terpilih berpeluang menceburi industri petrokimia berteknologi tinggi selain berpeluang meningkatkan lagi tahap kemahiran dan kepakaran," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah Kompleks Aroma Bersepadu BASF Petronas Chemicals di kawasan perindustrian Gebeng di sini.
Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas, Pengerusi BASF Petronas Chemicals Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Naib Pengerusi Lembaga Pengarah BASF SE Dr Martin Brudermuller.
Najib berkata latihan kemahiran serta pemindahan pengetahuan dan kepakaran teknologi yang diterima, akan menjadi pemangkin kepada pembangunan tenaga pekerja berkemahiran tinggi negara, khususnya dalam bidang minyak, gas dan petrokimia.
"Di samping itu, projek ini juga akan mewujudkan 1,500 peluang pekerjaan semasa fasa pembinaan kompleks ini.
"Saya berharap aktiviti pembangunan perindustrian di kompleks tersebut akan mendorong lebih ramai anak muda, terutama di Pahang, menceburi bidang minyak, gas dan petrokimia," katanya.
Katanya, negara kini memerlukan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi untuk berkhidmat dalam industri tersebut yang juga merupakan penyumbang tertinggi kepada pendapatan negara.
Najib turut memuji kerjasama penuh sektor korporat yang diterajui Petronas menerusi pembangunan industri petrokimia yang terancang di Malaysia, yang bakal menjana pelaburan swasta yang positif serta mewujudkan pelbagai peluang perniagaan dan pekerjaan dalam kalangan penduduk tempatan.
"Saya yakin projek dengan kecanggihan teknologi dan inovasi Jerman di BASF Petronas Chemicals ini, mampu menghasilkan kimia khusus dalam bentuk bahan beraroma, yang memenuhi strategi kita untuk menjadi industri berasaskan pengetahuan dan negara berpendapatan tinggi.
"Pelaburan ini membuktikan hubungan rapat antara BASF, syarikat kimia utama dunia, dan Petronas, syarikat minyak negara," katanya.
Namun begitu, Najib berkata. kejayaan Petronas dan negara juga bergantung kepada sokongan rakyat terhadap projek seperti Kompleks Aroma Bersepadu yang dilancarkan hari ini serta projek Petronas lain, seperti Loji Penapisan dan Pembangunan Petrokimia Bersepadu di Pengerang, Johor dan projek Ammonia Urea Sabah di Sipitang, Sabah dan lain-lain projek yang sedang diusahakan.
"Saya berharap seluruh rakyat akan terus menyokong Petronas dalam usahanya mendorong kepesatan pembangunan ekonomi negara ke arah negara berpendapatan tinggi," katanya.
#kawasan perindustrian gebeng
#Kompleks Bahan Aroma Bersepadu BASF Petronas Chemicals
#Najib Tun Razak