Komitmen global GVT ke arah kelestarian alam
Astro Awani
Januari 13, 2024 18:12 MYT
Januari 13, 2024 18:12 MYT
SHAH ALAM: Bagi memperkasa sektor tenaga hijau negara, syarikat pengedar kenderaan EV tempatan, Gurun Vehicle Technologies Sdn Bhd (GVT) mengorak langkah menguasai pasaran bas elektrik dengan menandatangani perjanjian bersama syarikat dari China, Yutong Bus Company Limited.
Menurut Pengarah Eksekutif GVT, Wan Ahmad Wan Omar berkata, perjanjian itu bagi menjalin perkongsian strategik dari segi pengedaran, pemasangan tempatan sepenuhnya (CKD) serta penyerahan pesanan rasmi kenderaan cekap tenaga (EEV).
Jelas Wan Ahmad, Yutong adalah antara syarikat pengeluar bas elektrik terbesar dengan jumlah pengeluaran melebihi 400 unit sehari serta telah merekodkan penjualan sebanyak 36,518 unit bas tenaga baharu pada tahun 2023 dan jualan kumulatif global sebanyak 175,000 unit setakat ini.
“Kemudahan pengilangan CKD ini menggunakan Smart Manufacturing Technologies termasuk teknologi robot welding system dan juga painted body ed coting system yang mana konsep ini dipakai oleh Syarikat Yutong.
“Operasi CKD ini dapat menjimatkan masa penghantaran kurang daripada tiga bulan daripada tempoh pesanan berbanding empat hingga enam bulan tempoh penghantaran standard pemasangan tempatan masa kini,” kata Pengarah Eksekutif GVT, Wan Ahmad Wan Omar.
Majlis MOU itu ditandatangani Wan Ahmad bersama Pengurus Wilayah Asia Pasifik Yutong, Michael Lu di Shah Alam baru-baru ini.
Tambahnya, pesanan dan perjanjian yang menampilkan 14 model bas EV dan EEV dari Yutong Series meliputi rangkaian bas yang mesra OKU serta laluan masuknya serendah 230-300 sentimeter bagi memudahkan para penumpang untuk keluar dan masuk dari bas tersebut.
Rangkaian bas tersebut juga disertakan dengan port USB untuk pemandu dan juga penumpang dan dilengkapi sistem stereng BOSCH.
Bas yang mengambil masa kurang 10 saat untuk mencapai pecutan 0-30 km itu juga mempunyai ciri keselamatan reinforced closed ring structure dalam binaan badan yang mampu mengagihkan tekanan optimum ke seluruh bahagian kenderaan sewaktu hentakan.
Selain bas, GVT juga memasang dan mengedar van jenis elektrik dan diesel.
Setakat ini, melalui kumpulan Go Auto, GVT telah mula menarik minat beberapa syarikat besar antaranya Prasarana, Tenaga Nasional Berhad, Gentari serta beberapa syarikat koperat lain dan Institusi Pengajian Awam Universiti Malaysia Pahang.
Bagi agensi kerajaan pula Polis Diraja Malaysia PDRM, Jabatan Penjara Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara sebanyak 200 unit telah di bekalkan.
Maklum Wan Ahmad lagi, perjanjian ini juga mampu mengurangkan kos bahan bakar selain membantu menggalakkan pengetahuan penduduk mengenai kelestarian alam.
Penggunaan bas elektrik juga adalah sejajar dengan inisiatif kerajaan menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta misi Goauto group.
Dalam pada itu, majlis pecah tanah bagi pembinaan kilang pembuatan dan pemasangan berteknologi tinggi di Chembong, Negeri Sembilan disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pada Jumaat.
Sebarang maklumat lanjut atau tempahan boleh layari goautovan.my.