[KOLUMNIS] Belanjawan 2023: Di manakah belanjawan alternatif?

Kolumnis AWANI
Mac 3, 2023 17:07 MYT
Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Datuk Sri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan, mencetuskan polemik perdebatan. - Astro AWANI/Shahir Omar
MELIHAT kepada perbahasan Belanjawan yang dibentangkan oleh Datuk Sri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan, mencetuskan polemik perdebatan yang bagi saya lebih kepada permainan semantik dan ramai pembahas gagal melihat terhadap intipati utama yang perlu diberi penekanan dan olahan.
Tanpa perlu menyebut mana-mana nama pembahas belanjawan, saya agak kecewa terhadap sesetengah mereka yang tidak memahami akan maksud ekonomi dan apatah lagi teori-teori kewangan yang lain. Ini belum lagi istilah-istilah mahupun tatacara pentadbiran yang amat jarang disentuh mungkin kerana takut memalukan diri sendiri kerana tidak memahami apakah maksud-maksudnya.
Saya rasa, bahagian penyelidikan Parlimen perlu memainkan peranan yang lebih pro-aktif dalam membantu setiap ahli Parlimen dalam menyediakan content perbahasan mereka supaya nampak lebih jitu dan padu.
Ahli-ahli Parlimen yang baharu perlu kepada induksi kemudahan-kemudahan yang disediakan, dan jadikan kakitangan Parlimen sebagai rakan bukannya musuh, supaya kematangan berhujah boleh dibentuk. Satu kerugian jika kepakaran penyelidikan Parlimen tidak digunakan sepenuhnya oleh ahli-ahli Parlimen.
Tidak perlu menongkat dagu, tidak salah merendah diri, kerana semua dari kita berjuang untuk memastikan negara terus maju dan harmoni.
Sekarang zaman di mana Kepintaran Artifisial (AI) boleh digunakan untuk mendapat maklumat dengan pantas dan tuntas, gunakan sebaik mungkin akan tetapi setiap maklumat yang diperolehi perlu kepada "verifikasi". Jangan ambil semberono, pastikan maklumat yang kita peroleh itu tepat dan terbaru.
Akan tetapi yang paling aulanya, saya ternanti-nanti, setelah kewujudan kabinet bayangan dari pihak pembangkang, bilakah mereka akan membentangkan belanjawan alternatif? Bagi saya belanjawan alternatif cukup penting bagi rakyat menilai, siapakah yang boleh menghasilkan satu kerangka kewangan yang terbaik untuk negara.
Biar rakyat juga menjadi penentu, sudah tiba masanya kita mengangkat paradigma perbahasan secara ilmiah, bukan sekadar mengkritik retorikal, tetapi datangkan dengan solusi yang lebih baik.
Secara tidak langsung, umum boleh juga menilai siapakah yang lebih berkualiti dan lebih layak memimpin negara ini.
Zaman bercakap kosong sudah berlalu. Zaman ini ialah zaman untuk semua orang berganding bahu memajukan negara. Jika Kerajaan dilihat gagal dalam memberikan penyelesaian, maka pembangkang sebagai “alternatif” harus berikan sesuatu yang berbeza, dengan segera.
Dari sini akan berlaku “marketing” terhadap rakyat, pihak mana yang lebih menonjol dan menghadirkan penyelesaian terhadap isu-isu rakyat. Pastinya akan mendapat undi dalam pilihan raya mendatang. Bukannya dengan menjerit-jerit dan membunuh karakter individu di Parlimen. Hadirkan sesuatu yang berilmiah demi negara tercinta.
Gunakan platform yang diberikan ini sebaik mungkin, dan biar rakyat mengukur kehebatan belanjawan-belanjawan ini. Ketika ini, apa yang rakyat lihat hanya belanjawan kerajaan dan sukar untuk dipastikan kehebatannya kerana tiada perbandingan yang ditonjolkan.
Pembangkang harus gunakan kesempatan ini sebaik mungkin, supaya negara kita boleh bergerak bukan hanya dengan kritikan tetapi dengan alternatif seperti yang dijanjikan.
Negara ini, negara kita, milik kita bersama.

* Pandangan ini daripada penganalisis politik dan juga kolumnis, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri.
* Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandngan sidang pengarang Astro AWANI
#Kolumnis #belanjawan alternatif #kerajaan #pembangkang #rakyat
;