Kod QR SSM BizTrust tingkat keyakinan pengguna

Haikal Raman
Mei 29, 2021 09:46 MYT
SSM BizTrust menyediakan platform kepada para peniaga yang menjalankan urusan secara atas talian bagi mendapatkan pensijilan BizTrust melalui logo atau seal.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kini menawarkan semula produk SSM BizTrust menerusi pengenalan kod QR SSM BizTrust bagi meningkatkan keyakinan pengguna terhadap perniagaan atas talian.
Kod QR yang turut dikenali sebagai business starter kit berfungsi sebagai pengesahan dan pengenalan identiti digital kepada peniaga yang berdaftar dengan SSM di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.
Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Nor Azimah Abdul Aziz berkata, bagi pengguna, mereka boleh mengimbas kod QR tersebut menerusi aplikasi rasmi MySSM.
“Melalui semakan entiti yang mudah melalui Kod QR SSM BizTrust ini, pengguna akan memperolehi maklumat asas entiti perniagaan seperti nama dan nombor pendaftaran entiti perniagaan, status perniagaan serta alamat URL bagi mengenal pasti kewujudan perniagaan yang sah di sisi undang-undang.
“Ini membolehkan kedua-dua pihak iaitu peniaga dan pengguna menguatkuasakan hak masing-masing di bawah transaksi perniagaan yang telah berlangsung.
“Pendekatan baharu ini akan mempertingkatkan keyakinan di kalangan pengguna dalam berurusniaga dengan peniaga online di samping membantu mewujudkan persekitaran perniagaan yang beretika dan dipercayai,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
Kod QR SSM BizTrust boleh diperoleh dan dimuat turun secara automatik melalui laman web www.ezbiz.ssm.com.my
Kod QR ini turut akan diperluaskan secara berperingkat kepada entiti perniagaan lain yang berdaftar di bawah Akta Syarikat 2016 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012.
Dapatkan kod QR SSM BizTrust anda sekarang! Maklumat lanjut, sila layari www.ssm.com.my.
Aplikasi MySSM boleh dimuat turun secara percuma menerusi Apple App Store, Google Play Store, dan Huawei AppGallery.
#KodQRBizTrust #KodQR #ezBiz #SSM #Awani #UsahawanOnline #TingkatKeyakinan #APP1956 #SSMBizTrust #pengguna #HakPengguna