KLIA2 terminal keempat terbaik dunia bagi penerbangan kos rendah

Anisah Mat Rani
Mac 22, 2018 09:30 MYT
KLIA2 diiktiraf sebagai terminal keempat terbaik dunia dalam senarai Anugerah Terminal Penerbangan Kos Rendah Terbaik 2018. -Facebook/shahrul.nurul
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) diiktiraf sebagai terminal keempat terbaik dunia dalam senarai Anugerah Terminal Penerbangan Kos Rendah Terbaik 2018.
Mendahului senarai pada tangga pertama bagi kategori sama ialah Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai, diikuti Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Narita dan Terminal 4 Lapangan Terbang Melbourne di tangga kedua dan ketiga.
Anugerah Terminal Penerbangan Kos Rendah Terbaik Dunia merujuk kepada terminal yang menyediakan perkhidmatan terbaik kepada syarikat-syarikat penerbangan kos rendah.
Anugerah Lapangan Terbang Terbaik dunia bermula pada tahun 1999 apabila Skytrax, sebuah badan perundingan perkhidmatan lapangan terbang melancarkan kaji selidik secara global tentang kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan lapangan terbang.
Undian dicerap daripada pengembara dari seluruh dunia melalui satu kaji selidik yang dijalankan sejak Ogos 2017 hingga Februari 2018 berdasarkan 13.73 juta soal jawab yang telah diedarkan.
Bagi tahun 2018, kaji selidik itu telah dijalankan di 550 lapangan terbang di seluruh dunia.
Pengguna lapangan terbang yang terlibat dengan kaji selidik ini terdiri daripada lebih 100 latar belakang berbeza.
Kaji selidik tersebut merangkumi kepuasan pengguna lapangan terbang dari segi keselamatan, kecekapan perkhidmatan, masa menunggu, dan pusat beli-belah.
KLIA2 yang dibuka secara rasmi pada 2 Mei 2014 menyediakan perkhidmatan penerbangan domestik dan antarabangsa serantau dan mampu memberi perkhidmatan kepada 45 juta penumpang setahun.
Antara syarikat penerbangan kos rendah di KLIA2 ialah AirAsia X, AirAsia Indonesia, Malindo Airways dan Firefly.
#Asia #Indonesia #keselamatan #KLIA #Kuala Lumpur #Melbourne #penerbangan