KLIA2 atasi semua sasaran QoS pada November 2018
Bernama
Februari 9, 2019 06:30 MYT
Februari 9, 2019 06:30 MYT
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) mengatasi sasaran dalam semua tujuh elemen di bawah pengukuran prestasi Kualiti Perkhidmatan (QoS) pada November 2018, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Sementara itu, terminal utama KLIA mengatasi sasaran dalam tujuh daripada lapan elemen, kata MAHB dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Pengendali lapangan terbang itu berkata tahap perkhidmatan di kedua-dua terminal tersebut dinilai secara berasingan.
Ketua Pegawai Eksekutif MAHB Raja Azmi Raja Nazuddin berkata KLIA2 mencatatkan prestasi malahan lebih baik walaupaun ia menawarkan kemudahan yang sama seperti di KLIA.
"Walaupun KLIA terlepas sasaran yang ditetapkan bagi kebersihan tandas dengan hanya margin kecil dua peratus pada 88 peratus, saya amat gembira melihat KLIA2 mengekalkan rekod cemerlangnya.
"Bagaimanapun, keputusan terbaharu ini akan memberi rangsangan kepada kami untuk berusaha lebih keras lagi bagi memastikan tahap perkhidmatan mengatasi jangkaan penumpang," katanya.
Raja Azmi berkata MAHB telah mengarah dan memastikan kontraktor pembersihannya mengambil tindakan segera untuk meningkatkan prestasi mereka dan tahap perkhidmatan bagi kebersihan tandas di terminal tersebut.
"Sementara itu, kami meneruskan usaha untuk memberi keselesaan kepada pengunjung kami. Antara inisiatif baharu yang mendapat sambutan penumpang adalah penyediaan kerusi roda dan kereta sorong bayi secara percuma di KLIA2," katanya.
-- BERNAMA