KLIA2 akan disiapkan ikut jadual
Bernama
Disember 24, 2013 22:53 MYT
Disember 24, 2013 22:53 MYT
Usaha sama (JV) antara UEM Construction Sdn Bhd dan Bina Puri Sdn Bhd berkata ia akan menyiapkan pakej kerja terminal tambang rendah KLIA2, dalam tempoh yang ditetapkan pada 31 Jan, 2014.
Dalam kenyataan bersama hari ini, syarikat terbabit berkata mereka kini bekerja keras bagi memastikan penyiapan pakej kerja itu dan memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) menjelang 31 Jan, 2014, dan proses Persediaan Operasi dan Pemindahan Lapangan Terbang (ORAT) pada 1 Feb, 2014.
"Kami bekerja bersama-sama pemegang kepentingan iaitu Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), perunding dan pihak berkuasa bagi merealisasikan sasaran itu," katanya.
Pakej kerja bernilai RM997 juta itu yang diserahkan kepada JV meliputi pembinaan bangunan terminal utama, bangunan satelit serta jambatan udara.
MAHB menetap sasaran untuk KLIA2 memulakan operasi pada 2 Mei, 2014, berikutan kegagalan penyiapannya pada 30 April, 2013.
Terminal itu pada asalnya dijadual dibuka pada 28 Jun lepas.