FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka didagangkan dalam jajaran 1,775 hingga 1,820 sebelum pembentangan Belanjawan 2014, kata Kenanga Research.

Berikutan masalah politik US untuk menaikkan siling had hutang, sudah diselesaikan minggu lepas, firma penyelidikan itu berkata pelabur kini kembali memberi tumpuan semula ke atas isu-isu domestik, iaitu Belanjawan 2014.

Selain ketetapan tarikh pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang ditunggu-tunggu, ia berkata siri pengurangan subsidi juga mungkin dibentangkan dalam belanjawan Jumaat ini.

Ini adalah hasil asas teras Belanjawan 2014 menjadi fokus bagi mengukuhkan ekonomi domestik dan mengurangkan defisit fiskal.

"Yang jelas akan mengalami kerugian ialah pengguna, terutama peruncit hartanah mewah (namun peserta perumahan mampu milik mungkin meraih manfaat menerusi permintaan kukuh) dan pada tahap tertentu, sektor rokok, judi dan arak," kata Kenanga Research dalam notanya hari ini.

Sektor tenaga dan telekomunikasi sebaliknya mungkin menyaksikan impak neutral kepada positif daripada pelaksanaan GTS.

Sementara itu, Kenanga Research berpendapat pemilihan Umno yang berakhir pada hujung minggu berpotensi mencetuskan rombakan Kabinet dalam tempoh dua minggu akan datang.

Sementara itu, MIDF Research menjangkakan belanjawan kali ini mesra kepada segmen penduduk berpendapatan rendah dan sederhana.

Ia menjangkakan kerajaan mungkin mengumumkan rancangan untuk melaksanakan GST, namun tidak menjangkakannya ia dikuatkuasakan mulai tahun depan.

"(Kami) tidak terkejut jika tarikh pelaksanaannya ditetapkan pada 1 Jan, 2015.

"Apa pun, tempoh masa pelaksanaan muktamad GST adalah positif kepada pasaran. Ia juga akan menjadi pemangkin untuk ringgit," kata MIDF Research.