KLCCH sangkal kehadiran menara M

Bernama
Julai 18, 2018 06:00 MYT
Pembangunan yang dijalankan terdiri daripada tempat letak kereta empat tingkat bawah tanah, dataran peruncit dan podium runcit empat tingkat. - Gambar hiasan
KLCC (Holdings) Sdn Bhd (KLCCH) menyangkal laporan media baru-baru ini bahawa ia sedang membina 'Menara M' di pusat bandar berhampiran Jalan Binjai .
"Tiada pembinaan sedemikian sedang berlaku. Sebaliknya, kerja-kerja pembinaan di Lots L, L1, M dan N tertumpu pada pembangunan integrasi dan berorientasikan transit," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ia menjelaskan, pembangunan yang dijalankan terdiri daripada tempat letak kereta empat tingkat bawah tanah, dataran peruncit dan podium runcit empat tingkat.
Ruang legar dan tempat letak kereta bawah tanah akan disepadukan sepenuhnya dengan stesen Transit Aliran Massa (MRT), katanya.
Kerja-kerja sub-struktur untuk projek tersebut oleh KLCCH sedang berjalan seperti yang dirancang dan seiring dengan pembangunan oleh MRT Corp, yang dijadualkan siap pada akhir tahun 2022.
Turut dimaklumkan kerja-kerja sub-struktur termasuk pembinaan landasan untuk bangunan masa hadapan dijalankan agar tiada gangguan berlaku pada laluan MRT ketika ia mula beroperasi.
"Apa-apa pelan pembinaan komersial masa hadapan mengenai ruang lot yang dipersoalkan adalah tertakluk kepada penyewaan yang terjamin sepenuhnya kerana KLCCH bukan pemaju spekulatif.
"Memandangkan keadaan pasaran semasa, mana-mana rancangan sedemikian tidak mungkin berlaku sebelum 2030.
"Mandat KLCCH adalah untuk memperoleh nilai aset dan ini termasuk sebarang pembinaan komersial masa hadapan. Untuk mencadangkan sebaliknya merupakan sesuatu yang tidak benar," tambahnya.
-- BERNAMA
#berita palsu #KLCC #KLCCH #Menara M #MRT Corp