KL20 2024: Pelabur asing iktiraf masa tepat untuk melabur di Malaysia - PM
Hasimi Muhamad
April 22, 2024 11:50 MYT
April 22, 2024 11:50 MYT
KUALA LUMPUR: Pelabur antarabangsa mengiktiraf bahawa ketika ini adalah masa yang tepat untuk melabur di Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas beliau, keyakinan ini bersandarkan kepada kestabilan dalam kerajaan dan tadbir urus yang baik, selain sifat pro-perdagangan dan pendirian neutral oleh Malaysia.
“Pengumuman hari ini datang daripada pencapaian luar biasa tahun lepas - pelaburan asing yang diluluskan berjumlah RM188 bilion, (yang datang) dari setiap pelusuk dunia.
“Pelaburan ini juga telah mencerminkan pergerakan dalam aktiviti rantai nilai yang lebih tinggi, kerana dunia menunjukkan keyakinan terhadap kemampuan tenaga kerja kita,” kata Perdana Menteri.
Anwar berucap merasmikan Sidang Kemuncak KL20 2024 yang bermula hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Berucap lanjut, Perdana Menteri berkata untuk menjadikan Malaysia sebagai gerbang sebenar kepada ekonomi utama, kerajaan juga akan menyaksikan hubungan antara bandar Kuala Lumpur dan Hangzhou.
Langkah tersebut, ujar beliau agar modal, bakat, dan akses pasaran tidak lagi menjadi halangan kepada kejayaan.
“Kami meletakkan Malaysia sebagai paksi untuk pemimpin dalam semikonduktor, tenaga bersih, agriteknologi, dan teknologi kewangan Islam,” tambahnya.
Mengenai penganjuran KL20 pula, Perdana Menteri berkata ia dirangka dalam usaha memperkenalkan reformasi besar-besaran untuk mengalu-alukan pelaburan berkualiti tinggi dan bernilai tinggi dari seluruh dunia.
Dalam masa sama, Anwar berkata ia memberi tumpuan kepada memartabatkan usahawan tempatan untuk bergerak ke peringkat global.
Sidang Kemuncak KL20 2024, yang diterajui oleh Kementerian Ekonomi, bakal merangsang semula kedudukan Malaysia sebagai hab terkemuka untuk pemula dan pemodal teroka, serta mengangkat Kuala Lumpur ke dalam senarai 20 hab pemula terbaik global menjelang 2030.
Lebih 3,000 peserta terdiri daripada pelabur antarabangsa dan syarikat-syarikat pemula niaga dijangka menghadiri acara tersebut.