KL Rat Race 2013 kutip RM1.8 juta untuk kebajikan

Astro Awani
September 17, 2013 22:25 MYT
Acara ‘KL Rat Race 2013’ anjuran The Edge dan Bursa Malaysia yang diadakan di perkarangan bangunan Bursa Malaysia hari ini telah berjaya mengutip sebanyak RM1.8 juta.
Menurut pihak penganjur, wang tersebut akan diedarkan kepada 28 badan kebajikan.
Larian sejauh 4.5 kilometer bermula jam 2 petang tadi dan disertai oleh 126 buah syarikat yang terdiri daripada syarikat-syarikat korporat serta syarikat perbankan dan disertai lebih 600 peserta.
Perlumbaan itu bermula dengan Perlumbaan CEO sejauh satu kilometer, diikuti Perlumbaan Utama yang bermula dari bangunan Bursa Malaysia, di mana peserta melalui Jalan Raja Chulan dan seterusnya Jalan P.Ramlee sehingga ke KLCC.
Mereka kemudiannya berpatah balik mengikut jalan yang sama kembali ke bangunan Bursa Malaysia sehingga ke garisan penamat.
Larian disifatkan unik kerana peserta akan berlumba dengan pelbagai ragam serta pakaian.
Pelbagai aksi dapat dirakamkan sepanjang acara tersebut, turut memeriahkan acara kumpulan sorak serta pancaragam bagi memberi semangat kepada pasukan mereka.
Acara KL Rat Race 2013 itu turut dianjurkan Yayasan Bursa Malaysia.
#Bursa Malaysia #CEO #KL Rat Race #the edge
;