KKLW sentiasa beri keutamaan terhadap bidang keusahawanan - Ismail Sabri

Bernama
November 9, 2015 07:41 MYT
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersalaman dengan pengunjung ketika hadir pada majlis Ramah Mesra bersama JKKK/JKDB Zon Pantai Barat Selatan dan Zon Tawau & Sandakan pada Isnin. - Foto Bernama
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sentiasa memberi keutamaan terhadap bidang keusahawanan dengan menyediakan pelbagai program dan bantuan pinjaman kepada usahawan di negara ini.
Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dalam usaha membantu usahawan khususnya di luar bandar, pihaknya menyediakan pelbagai bantuan termasuk pinjaman Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED).
"Dengan adanya pinjaman ini pengusaha bumiputera luar bandar dapat memulakan perniagaan, sekali gus dapat meningkatkan bidang ekonomi luar bandar.
"Ia juga dapat meningkatkan perusahaan yang diceburi pengusaha bumiputera luar bandar supaya lebih berdaya maju, berdaya tahan dan mempunyai komitmen yang tinggi," katanya ketika merasmikan Program Membara Anjuran Biro Ekonomi dan Keusahawanan UMNO Bahagian Tawau, di sini malam Isnin.
Beliau berkata dana yang disediakan oleh kerajaan melalui KKLW mencukupi untuk para usahawan memulakan sebarang perniagaan.
"Oleh itu kami berharap para usahawan mengambil peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan memanfaatkan peluang yang disediakan KKLW," katanya.
Selain itu, Ismail Sabri berkata KKLW juga membantu usahawan desa untuk memasarkan produk mereka sehingga ke luar negara.
"Ia merupakan program yang kami sediakan untuk mengantarabangsakan produk yang dihasilkan usahawan desa," katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri meminta agar rakyat terus bersatu padu untuk menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) supaya segala perancangan untuk membantu rakyat khususnya di kawasan luar bandar dapat diteruskan.
"Kita perlu pastikan BN terus memerintah. Oleh itu kita perlu sokongan padu daripada rakyat, terutamanya sokongan kepada Perdana Menteri," katanya.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Nilwan Kabang dan Anggota Dewan Undangan Negeri Lahad Datu Datuk Mohd Yusof Apdal.
#Bumiputera #ismail sabri yaakob #KKLW #Skim Pembiayaan Ekonomi Desa #SPED
;