Kimma rancang buka 400 Halal Mart dalam tempoh lima tahun
Bernama
Februari 28, 2016 15:02 MYT
Februari 28, 2016 15:02 MYT
Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dengan kerjasama Yayasan Kemajuan Islam Nasional (Yakin) merancang untuk membuka 400 Halal Mart di seluruh negara secara berperingkat dalam tempoh lima tahun bermula tahun ini.
Presiden Kimma Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berkata setakat ini sebanyak tiga Halal Mart telah dibuka di Selangor masing-masing satu di Bangi dan dua di Kajang kira-kira dua minggu lepas.
Beliau berkata Halal Mart berkenaan akan memasarkan pelbagai produk dan barangan Halal keluaran Bumiputera yang dijual pada harga murah.
"Kita menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat di Selangor apabila tiga Halal Mart yang baharu ini dibuka dan pada tahun ini sahaja kita sasar untuk buka 70 premis Halal Mart di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor secara berperingkat.
"Semua barangan yang dijual akan dibekalkan Yakin Konsortium kepada semua cawangan yang ada bagi memastikan produk atau barangan yang dijual menepati kualiti yang telah ditetapkan," katanya kepada Majlis Makan Malam Kimma Bersama Pemimpin di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, golongan belia berusia 40 tahun ke bawah di negara ini terutamanya Bumiputera dan India Muslim digalakkan untuk memohon dana berjumlah kira-kira RM350,000 melalui Majlis Amanah Rakyat dan Pemodalan Usahawan Nasional Berhad untuk membuka francais kedai berkenaan.
Kimma dan Yakin, katanya, akan memantau perkembangan setiap usahawan yang melibatkan diri dalam pembukaan francais berkenaan sehingga berjaya.
Beliau berkata sebuah gudang jualan produk Bumiputera dan Halal juga telah dibuka di Kajang untuk bekalan kepada peniaga pada harga yang murah.
Menurutnya pembukaan Halal Mart dan gudang berkenaan bertujuan meringankan beban rakyat untuk mendapatkan barangan dan keperluan harian pada harga yang berpatutan serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan terutamanya golongan Bumiputera.