Kilang TF AMD kedua di Batu Kawan Pulau Pinang dijangka siap 2023
Dewi Nur Harasha Alias
Jun 14, 2022 17:10 MYT
Jun 14, 2022 17:10 MYT
GEORGE TOWN: TF AMD Microelectronics Sdn Bhd, syarikat semikonduktor melabur RM2 bilion bagi membangunkan kilang pembuatannya di Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang.
Pengarah Urusan TF AMD, Neoh Soon Ee berkata, kilang baharu di Batu Kawan adalah kilang kedua di negeri itu dan pembinaannya dijangka siap menjelang pertengahan tahun 2023.
Soon Ee berkata, pihaknya optimis kapasiti pengeluaran syarikatnya akan meningkat dengan adanya pengembangan baharu itu sekali gus mewujudkan 3,000 pekerjaan baharu dalam bidang kejuruteraan semikonduktor, reka bentuk dan teknologi pemprosesan bagi pengkomputeran berprestasi tinggi.
Beliau berkata kawasan pembangunan baharu itu dibina di atas kawasan 14 ekar seluas 1.5 juta kaki persegi yang akan dilengkapi dengan kemudahan teknologi tinggi dan apabila ia siap kelak ia akan menjadikan kapasiti pengeluaran TF AMD keseluruhannya adalah 2.3 juta kaki persegi.
Soon Ee berkata demikian pada sidang media selepas majlis pecah tanah tapak kilang TF AMD di Bayan Lepas , Pulau Pinang pada Selasa.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman, Naib Presiden Eksekutif AMD, Datuk Devinder Kumar dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Penang Datuk Loo Lee Lian.
TF AMD adalah sebuah syarikat usahasama yang ditubuhkan pada 2016 oleh Syarikat China TongFu Microelectronics Advanced Micro Devices Inc (AMD) yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Majlis pecah tanah pembangunan kilang pengeluaran TF AMD siang tadi disempurnakan Ketua Menteri Chow Kon Yeow dengan disaksikan Pengerusi TongFu Microelektronik Co .Ltd Shi Ming Da (secara dalam talian).
Sementara itu Datuk Arham berkata, Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelabur khususnya membabitkan sektor pembuatan teknologi tinggi dan perkhidmatan global di Asia.
Jelasnya, meskipun menghadapi kekurangan bekalan di peringkat global namun dengan adanya TF AMD di Batu Kawan Pulau Pinang ia akan merancakkan lagi Industri Elektrikal dan Elektronik (E&E) negara.
Dalam pada itu, Arham berkata, pihak MIDA akan mengumumkan prestasi pelaburan suku pertama bagi Malaysia dalam beberapa hari lagi khususnya bagi sektor E&E.