Kilang pemasangan EV Proton perkukuh AHTV, buka 3,000 peluang pekerjaan - Saarani
Bernama
Februari 7, 2025 17:30 MYT
Februari 7, 2025 17:30 MYT
TANJUNG MALIM: Pembinaan kilang pemasangan kenderaan elektrik (EV) Proton di sini bakal membuka lembaran baharu dalam memperkukuh pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), Tanjung Malim, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata kilang pemasangan EV pertama di Malaysia itu telah membuka lebih 3,000 peluang pekerjaan kepada warga Tanjung Malim, sekali gus memperkukuh ekosistem industri automotif negara.
"Justeru, saya melihat pembinaan kilang EV Proton ini bukan sekadar fasiliti kilang pemasangan, tetapi suatu pelaburan masa depan.
"Ia merupakan kilang pertama di Malaysia yang dibina khusus untuk pemasangan kenderaan tenaga baharu, mencerminkan komitmen kita terhadap teknologi hijau dan kemajuan industri automotif negara," katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah pembinaan kilang itu di sini, hari ini.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah Proton Ahmad Jauhari Yahya dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah.
Saarani berkata komitmen pembinaan kilang tersebut hadir bersama keyakinan bahawa Malaysia memiliki kelebihan unik dalam industri EV.
"Kita mempunyai ekosistem automotif yang kukuh, kepakaran dalam semikonduktor dan elektronik automotif, serta inisiatif kerajaan seperti pemasangan 10,000 stesen pengecasan EV menjelang 2025.
"Keunikan ini bukan sahaja memberi kelebihan daya saing, tetapi turut menarik pelaburan strategik dari syarikat automotif utama seperti PROTON, yang terus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri EV," katanya.
Beliau berkata akses perhubungan dan infrastruktur yang mantap amat penting dalam memajukan industri berteknologi tinggi.
Justeru itu, kerajaan Perak merancang memperkasakan jaringan logistik dengan pembinaan sebuah lebuh raya baharu, menghubungkan AHTV di Tanjung Malim dengan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) di Manjung bagi menyokong ekosistem perindustrian secara menyeluruh, katanya.
"Bukan itu sahaja, keseluruhan kawasan AHTV telah disediakan dengan perkhidmatan 5G. Kemudahan ini bukan sekadar meningkatkan daya saing AHTV, malah menjadikannya lebih bersedia menerima pelabur berteknologi tinggi," kata Saarani.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Proton berkata kilang pemasangan dengan pelaburan RM82 juta itu akan menghasilkan pelbagai model NEV untuk pasaran tempatan dan eksport.
Fasa pertama dijangka siap menjelang akhir 2025 dengan kapasiti 20,000 unit setahun, setelah siap, ia akan menghasilkan pelbagai model berdasarkan platform Struktur Modular Global (GMA) bermula dengan Proton e.MAS 7, model EV pertama jenama automotif Malaysia.
-- BERNAMA