Kilang Daihatsu Perodua baharu akan raih manfaat industri automotif liberal
Bernama
November 8, 2016 22:55 MYT
November 8, 2016 22:55 MYT
Kilang baharu Daihatsu Perodua Engine Manufacturing Sdn Bhd (DPEM) di Lembah Teknologi Sendayan, yang dibangunkan dengan pelaburan kira-kira RM500 juta, serta kilang sedia di kawasan itu diwujudkan untuk meraih manfaat peluang pasaran automotif liberal sepenuhnya.
Pengerusi, Tan Sri Asmat Kamaludin berkata kilang enjin baharu yang mula beroperasi pada Mei, 2016, setakat ini membuat 35,000 unit enjin 1.3 liter kereta Bezza cekap tenaga yang baru dilancarkan Perodua.
DPEM mempunyai kapasiti untuk membuat 216,000 blok enjin setahun dengan pusingan dua syif, katanya semasa majlis pelancaran kilang itu, yang disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan di sini, hari ini.
Kilang itu -- 51 peratus milik Daihatsu Motor Co Ltd dan 49 peratus oleh Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) -- merupakan kemudahan pembuatan kedua Daihatsu di Sendayan selepas kemudahan pembuatan transmisi, Akashi Kikai Industry (M) Sdn Bhd.
Akashi Kikai dilancarkan pada Julai, 2015 dan menyediakan transmisi automatik elektronik untuk Perodua, serta enjin transmisi manual untuk model Axia dan Bezza.
Asmat berkata, DPEM dan Akashi Kikai dibangunkan untuk meraih manfaat daripada pasaran automotif liberal sepenuhnya dengan menawarkan komponen enjin berkualiti tinggi pada harga yang kompetitif.
"Dengan liberalisasi sepenuhnya industri automotif yang pasti berlaku tidak lama lagi, adalah wajar untuk memanfaatkan potensi pertumbuhan dalam rantau ASEAN, di mana kebanyakan negara di sini mencari peluang untuk berkembang bagi beberapa dekad akan datang.
"Buat masa ini, kami menumpukan pelaksanaan langkah pertama yang tepat dari segi persediaan dan peningkatan (sebelum liberalisasi sepenuhnya industri automotif) di samping kami amat berharap menyaksikan pulangan dalam tempoh yang agak munasabah," katanya.
Asmat berkata sebagai tambahan kepada pelaburan yang dibuat, Daihatsu juga memindahkan teknologi dan pengetahuan teknikalnya ke kilang berkenaan memandangkan enjin 1.3 liter dan 1.5 liter dibuat di DPEM untuk memenuhi piawaian dunia.
Selain Perodua, Asmat berkata DPEM dan Akashi Kikai memperoleh dua status pengeluar peralatan asli (OEM) untuk produknya, namun enggan mengulas lanjut perkara itu.
Sementara itu, Mohamad berkata DPEM membuka peluang pekerjaan yang lebih luas kepada golongan tempatan dalam industri automotif berteknologi tinggi.
Sejak mula beroperasi DPEM telah membuka peluang pekerjaan kepada 202 individu dengan 80 peratus daripadanya merupakan adalah rakyat tempatan.
"Ini merupakan pencapaian yang baik kepada kerajaan negeri, menyediakan peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan selain membuka peluang pelaburan berteknologi tinggi," katanya.
-- BERNAMA