Khazanah tinjau calon berpotensi sebagai CEO baharu MAS - Azman Mokhtar
Bernama
Ogos 30, 2014 14:53 MYT
Ogos 30, 2014 14:53 MYT
Khazanah Nasional Bhd kini meninjau calon-calon berpotensi dari industri penerbangan global dan juga tempatan untuk menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Malaysia Airlines yang distruktur semula, kata Pengarah Urusan Khazanah Nasional Tan Sri Azman Mokhtar.
CEO baharu itu, yang bakal menggantikan Ahmad Jauhari Yahya, akan diumumkan akhir tahun ini.
Ahmad Jauhari, yang kontrak tiga tahunnya dijadual tamat bulan depan, akan terus menerajui entiti sedia ada MAS sehingga 1 Julai 2015 bagi melicinkan peralihan daripada entiti lama kepada entiti baharu MAS yang disusun semula.
"Kami sedang meninjau rakyat Malaysia, yang mungkin atau mungkin bukan rakyat Malaysia dan eksekutif industri penerbangan global.
"Minat orang untuk berkhidmat MAS tidak berkurangan," katanya pada taklimat media mengenai 12 perkara Pelan Pemulihan MAS di sini hari ini.
Beliau tidak menolak kemungkinan melantik seseorang yang bukan berlatar belakangkan industri penerbangan.
Di bawah pelan 12 perkara itu, sebuah syarikat baharu akan ditubuhkan pada Julai 2015 untuk menempatkan MAS baharu, penghijrahan tenaga kerja yang bersesuaian dan amalan kerja dan kontrak yang betul ke dalam syarikat baharu.