Khazanah terbuka terima cadangan penstrukturan semula MAS
Bernama
November 10, 2014 18:03 MYT
November 10, 2014 18:03 MYT
Khazanah Nasional Bhd bersifat terbuka untuk menerima sebarang cadangan dan idea yang dikemukakan pelbagai pihak dalam proses penstrukturan semula Malaysia Airlines (MAS).
Timbalan Pengerusinya Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata Khazanah bersedia mendengar dan menimbang sebarang idea dan cadangan agar proses penstrukturan semula itu dapat berjalan lancar dan berjaya agar MAS kembali menjadi sebuah syarikat penerbangan nasional yang dapat dibanggakan oleh rakyat negara ini.
Katanya selain dapat dibanggakan, Khazanah juga mahu menjadikan MAS kembali mencatatkan keuntungan serta mampu memberi manfaat yang besar dalam sektor pelancongan dan perdagangan negara.
"Kita yakin, dengan kerjasama penuh dari semua pihak yang terlibat, matlamat berkenaan dapat dicapai," katanya pada sidang akhbar pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kolej WIT dan Antah Schindler Sdn Bhd di sini hari ini.
Kolej WIT diwakili oleh Pengerusinya Tan Sri Zainal Rampak sementara Antah Schinder diwakili Ketua Pengarah Operasinya Lee Wei Jye.
Berdasarkan MoU itu, Kolej WIT dan Antah Schindler, sebuah syarikat pembinaan dan penyelenggaraan lif terkenal, akan bekerjasama dalam program latihan industri dan perantis.
Menurut Zainal, untuk pengambilan pertama, seramai 65 pelajar terpilih untuk mengikuti program selama enam bulan itu.
"Bagi pelajar berjaya menamatkan program itu, mereka kelak akan diserapkan sebagai pekerja di Antah Schindler," katanya.